KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan selamat menyambut perayaan Songkran dan tahun baru kepada Keluarga Malaysia keturunan Siam di seluruh negara.

Kata beliau, perayaan Songkran tahun ini disambut dalam suasana kita masih lagi perlu berhati-hati dengan ancaman Covid-19 yang telah menjejaskan kehidupan harian dan kegiatan ekonomi seluruh rakyat Malaysia serta penduduk dunia.

“Sama-samalah kita mendoakan agar keadaan kembali pulih seperti sediakala agar kita boleh menyambut perayaan ini dan perayaan rakyat Malaysia yang lain dengan lebih meriah lagi,” ucap Perdana Menteri pada Rabu.

Kata Ismail Sabri, pemberian cuti tanpa rekod kepada penjawat awam berketurunan Siam sempena Perayaan Songkran ini merupakan satu keistimewaan kepada mereka yang sama-sama berusaha untuk membangunkan negara.

“Anggaplah keistimewaan ini sebagai pengiktirafan kepada masyarakat Siam yang menjadi sebahagian daripada rakyat pribumi negara ini.

“Saya berharap seluruh masyarakat Siam dapat menggunakan perayaan ini bagi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan silaturahim dengan sahabat handai serta jiran tetangga yang berbilang bangsa.

“Itulah asas kepada kesejahteraan yang menjadi tunjang kepada konsep Keluarga Malaysia,” ujar beliau.

Tambah Perdana Menteri lagi, semoga masyarakat Siam khasnya dan seluruh Keluarga Malaysia amnya terus berada dalam keadaan sihat sejahtera sepanjang masa.

“Selamat menyambut Perayaan Songkran 2022,” katanya.