KUALA LUMPUR – Bantuan kerajaan kepada syarikat yang bermasalah boleh dilakukan jika ia berdasarkan kajian menyeluruh dan mempunyai alasan kukuh untuk menyokongnya.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah tersebut bagi mengelakkan kejatuhan syarikat itu memberi kesan kepada ekonomi dan tenaga kerja.
“Kalau mereka buat kajian dahulu dan ada sebab, (kerajaan) boleh bantu. Jangan kita bagi sesuatu syarikat itu mudah jatuh.
“Namun, kena tentukan wang yang diberikan itu digunakan dengan baik,” lapor Sinar Harian di Shah Alam.
Sebelum ini, Sapura Energy Berhad (SEB) memperoleh pelaburan RM1.1 bilion menerusi langganan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS) pada nilai nominal oleh Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH).
Tambah Dr Mahathir, meskipun terdapat dakwaan bahawa peruntukan dana itu dilabel sebagai ‘bailout’, namun langkah berkenaan penting bagi menyelamatkan syarikat terutama mempunyai jumlah pekerja yang ramai.
“Mungkin ia adalah ‘bailout’ tetapi mana-mana syarikat pun kita perlu ‘bailout’ kerana kegagalan satu-satu syarikat memberi kesan, bukan sahaja kepada pemilik tetapi juga pekerja.
“Jadi kita kena fikir tentang masalah mereka juga,” katanya.