KUALA LUMPUR, 12 Mac 2025 – Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menasihati Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz supaya tidak terburu-buru dalam membuat keputusan mengenai masa depannya dalam parti itu.
Zahid mengesahkan telah bertemu dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu minggu lalu dan mengingatkan Tengku Zafrul mengenai peranan pentingnya dalam Umno sebagai Ketua Bahagian Kota Raja dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
“Jadi tak perlu tergesa-gesa. Dalam perkara itu beliau bersetuju dengan saya dan setakat hari ini beliau masih lagi menjadi ahli Umno.
“Saya beri pandangan sebagai presiden parti, setakat ini beliau masih menjadi ahli Umno,”katanya selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama ahli MKT Umno.
Kenyataan Zahid ini dibuat di tengah-tengah spekulasi sejak dua bulan lalu yang mendakwa Tengku Zafrul merancang menyertai PKR bagi membuka laluan untuk beliau menjadi Menteri Besar Selangor.
Spekulasi ini semakin kuat selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan bahawa perbincangan sedang berlangsung mengenai kemungkinan Tengku Zafrul menyertai parti itu.
Bagaimanapun, Tengku Zafrul sebelum ini berkata beliau hanya akan membuat keputusan selepas berbincang dengan Zahid Hamidi.