Cyberjaya – Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh, mengecam penjualan sandwic ham di kedai KK Mart Universiti Malaya (UM), yang menimbulkan persoalan besar mengenai status halal produk tersebut.
Dalam satu video yang disiarkan di Facebook, Dr. Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau menegaskan bahawa penggunaan logo halal pada pek sandwic yang mengandungi ‘ham’ itu perlu disiasat. Menurutnya, istilah ‘ham’ yang sering dikaitkan dengan daging babi, menimbulkan keraguan apabila ia dijual bersama logo halal.
“Okaylah, mungkin dijual untuk orang bukan Islam, ini masih boleh diterima. Tapi tengok balik bungkusan tu, ada logo halal. Saya nak tanya KK Mart, sejak bila ham dianggap halal?” soal beliau dalam video tersebut.
Dr. Akmal turut mencabar pihak berkuasa untuk mengesahkan sama ada logo halal yang tertera pada produk itu sah dan benar, kerana menurutnya, logo halal seharusnya mengikut keperluan yang ketat, termasuk menunjukkan jenis daging yang digunakan.
Sebagai reaksi terhadap kejadian ini, UM mengarahkan penutupan dua cawangan KK Mart di kampusnya pada Sabtu lalu, berikutan kebimbangan terhadap pelabelan halal produk tersebut. Ini dilakukan bagi memastikan siasatan dapat dijalankan tanpa gangguan.
“Saya menyeru Jakim untuk menjelaskan sama ada logo halal sandwic itu tulen atau sebaliknya. Kita sebagai orang Islam, ini bukan kali pertama. Cukuplah mereka ini mempersendakan agama kita,” ujar Dr. Akmal.
Pihak polis dan agensi berkaitan turut digesa menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan yang sewajarnya.