Kerajaan akan mohon perintah larangan bersuara halang bincang titah addendum, lindungi institusi raja

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pihak kerajaan akan memfailkan permohonan untuk mahkamah mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) bagi melarang mana-mana pihak membincangkan isu berkaitan kes titah addendum yang mula disebut di Mahkamah Tinggi.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang ditemui di lobi mahkamah memberitahu media pihaknya akan memfailkan perkara itu 20 Januari depan.

Ditanya alasan permohonan itu, Shamsul berkata ia adalah untuk melindungi Institusi Diraja kerana perkara itu menyentuh isu sensitif iaitu raja, agama dan kaum (3R).

Prosiding berkenaan titah addendum yang dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Hayatulakmal Abdul Aziz.

Dalam prosiding tertutup di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin, Hayatulakmal menetapkan 11 Mac depan untuk pengurusan kes melalui e-review.

Ketika ditemui di perkarangan mahkamah, Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya akan membantah permohonan perintah larangan itu dengan alasan perkara itu adalah kes yang membabitkan kepentingan awam selain telah dibincangkan secara meluas termasuk di peringkat Parlimen.

Selain permohonan perintah larangan bersuara, Shamsul berkata pihaknya juga akan membantah permohonan tiga orang peguam, diketuai oleh Tan Sri Azhar Azizan Harun, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Zulkifli Noordin yang akan memohon untuk bertindak sebagai peguam pemerhati mewakili tiga orang ahli Parlimen Perikatan Nasional, terdiri daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, Naib Presiden Pas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee.

Minggu lalu, Najib mendapat kebenaran Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum yang didakwa dikeluarkan Januari tahun lalu.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza pada 6 Januari lalu.

Mahkamah sehubungan itu memerintahkan supaya kes semakan kehakiman berkenaan diremitkan (dikembalikan) ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan didengar dan diputuskan, lapor BH.

Sebelum ini pada 3 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib berkaitan titah tersebut dengan alasan ia adalah dengar cakap.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat