Hanya Ruji calon payung terjun tambah nilai PKR di mata rakyat, 3 lain ada rekod lompat parti – Rafizi

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli menanggapi calon yang baru masuk PKR Datuk Ruji Ubi bagi kerusi DUN Merotai sahaja dijangka memberikan nilai tambah parti di mata rakyat.

Manakala katanya, tiga calon lain boleh dikatakan memberi kesan sebaliknya kerana rekod mereka suka melompat parti.

Dalam catatan terbaru di Facebook bertajuk “dari reformasi ke reformanan dan kini reformusa” Rafizi berkata, PKR telah mengumumkan 10 calon untuk pilihan raya negeri Sabah dan dari 10 calon berkenaan empat adalah calon payung terjun, iaitu calon-calon yang lompat dari parti lain atau calon yang baru masuk parti.

“Calon yang baru masuk parti iaitu Datuk Ruji bagi kerusi Merotai, lebih mudah untuk kita fahami kerana PKR perlu menampilkan calon-calon berprofil tinggi.

“Datuk Ruji adalah bekas pegawai kanan kerajaan dan kehadiran beliau boleh menambah nilai PKR di mata rakyat.

“Calon yang tiga orang lagi boleh ada kesan yang sebaliknya kerana rekod mereka yang suka melompat parti.

“Datuk Yamani Hafez Tun Musa Aman adalah anak kepada TYT Sabah sekarang. Sebelum ini menganggotai Umno, kemudian Bersatu dan kini PKR. Maksudnya parti yang berkuasa di Persekutuan, parti itulah jadi platform politik beliau.

“Begitu juga calon Melalap, Datuk Jamawi Jaafar. Sebelum ini dalam Umno, bila Warisan berkuasa, beliau masuk Warisan. Tahun 2020 Warisan jatuh, beliau kembali kepada Umno. Bila Umno tidak sebulu dengan GRS tahun 2023, beliau masuk GRS. Kini masuk PKR.

“Seorang lagi calon ialah George Hiew. Asalnya DAP, kemudian masuk Warisan dan sempat jadi pembantu menteri. Bila Warisan jatuh, masuk GRS, dan kini PKR,” kata Ahli Parlimen Pandan itu.

Dalam PKR kata Rafizi, dari dulu lagi, ada pandangan berbeza mengenai calon lompat.

“Satu pandangan merasakan calon lompat adalah seperti durian runtuh kerana yang melompat itu selalunya sudah ada nama, ada pangkat dan mereka ada pengaruh.

“Kalau yang melompat itu adalah bekas wakil rakyat di kawasan itu sebelum ini, peluang menang mungkin lebih tinggi.

“Satu lagi pandangan berpendapat ia tidak serasi dengan jiwa reformasi yang mahu melihat ahli politik yang berprinsip. Jika calon yang melompat itu benar-benar berjiwa reformasi, kita tidak perlulah lawan dia sebelum ini – sama ada memang dia sudah berada dalam PKR dari awal, atau dia seorang wakil rakyat yang baik.

“Bagi saya, strategi parti mestilah tepat dengan kehendak rakyat,” kata Rafizi.

Menurut bekas Menteri Ekonomi itu lagi, PKR tampil di persada politik negara dengan janji untuk membawa politik baru dan membuang budaya lama yang menjadikan mandat rakyat sebagai percaturan tawar menawar.

“PKR pernah ada pengalaman masuk pilihan raya dengan menampilkan bekas wakil rakyat yang lompat parti, iaitu semasa pilihan raya negeri Melaka yang lepas.

“Keputusannya tidak baik. PKR kalah semua kerusi walaupun dalam PRU 2018 PKR mencatatkan kemenangan terbesar dalam sejarah di Melaka.

“Setiap daripada kita, apatah lagi yang memimpin parti politik, akan terus berdepan dengan dua pilihan dalam setiap keputusan: sama ada kita memilih jalan pintas untuk menang (contohnya mengambil calon lompat yang pasang siap); atau kita memilih untuk menang atas usaha melahirkan calon-calon yang kita didik sendiri,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat