Bekas Pesilat Negara Terkilan, Nafi Jual Pingat Emas RM100

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – “Bukan kaki saya yang melangkah menjual pingat itu,” demikian penjelasan yang diberikan bekas pesilat negara, Azlinda Ahmad selepas beliau dikatakan sebelum ini hidup dalam keadaan terdesak.

Beliau yang juga bekas juara dunia 1994 dan 2000 agak terkejut dan terkilan dengan laporan akhbar hari ini.

“Saya baru tahu mengenai apa yang berlaku, buat masa ini apa yang boleh saya katakan perkara itu (menjual pingat di kedai barangan terpakai) bukan berlaku daripada diri saya sendiri,” katanya ketika sidang media bersama Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Beliau yang berusia 47 tahun berkata, buat masa ini hanya mahu memastikan terlebih dulu status pingat, tempat yang dijual (kedai barangan terpakai) seperti laporan akhbar itu.

“Kalau dari segi laporan akhbar itu memang pingat itu menyatakan mengenai kemenangan saya dan sudah bertahun mungkin ia juga disebabkan kecuaian saya sendiri. Saya juga sering berpindah-randah dan banyak barang-barang lama terlepas pandang, jadi ia belum dipastikan lagi mengenai pingat itu.

“Bagi saya buat kesahihan dulu kerana ini juga membabitkan maruah saya. Apa pun saya menafikan bukan kaki saya menjejak langkah untuk menjual pingat itu. Saya tidak pasti (sama ada hilang atau tidak) benda sudah lama dan banyak kali saya berpindah.

“Saya juga agak kesal kerana perkara ini tidak mendapat kepastian daripada diri saya sendiri sebelum laporan akhbar dikeluarkan,” katanya.

Azlinda yang pernah menjadi jurulatih kebangsaan, mengakui dirinya belum sampai lagi kepada tahap terdesak sehingga menjual pingat kemenangannya.

“Bagi saya tidak ada siapa boleh nilaikan bagaimana seseorang itu terdesak. Saya sendiri tidak rasa sudah terdesak.

Laporan Arena Metro hari ini menyatakan tiga barang kesayangan iaitu pingat emas Kejohanan Silat Dunia 1994 di Hat Yai, gangsa Sukan Sea Chiang Mai Thailand 1995 serta baju silat Malaysia dijual kepada satu kedai barangan terpakai di Kuala Lumpur dengan harga semurah RM100 lebih.

Menurut sumber yang enggan namanya dikenali, dua pingat berkenaan adalah milik Azlinda yang pernah mengharumkan nama negara sekitar era 1990-an. – Hmetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat