Ismail Sabri Boleh Saja Pecat 12 Menteri PN Tapi Lebih Baik Bubar – Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh sahaja memecat 12 Menteri Perikatan Nasional (PN) yang mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong namun tindakan sedemikian akan membawa krisis yang lebih besar, parah dan memalukan pentadbiran negara.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tindak tanduk 12 menteri PN ini adalah punca serta merta yang mencetuskan isu ketidakpercayaan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri lantikan Yang di-Pertuan Agong.

“Sudah pasti, Perdana Menteri boleh sahaja memecat 12 Menteri tersebut. Namun ini akan membawa krisis yang lebih besar, parah dan memalukan pentadbiran negara. Ia juga akan melibatkan undi tidak percaya dan sebagainya.

“Maka, jalan terbaik untuk berdepan dengan karenah ahli Kabinet tidak berdisiplin ini ialah Perdana Menteri pergi menghadap Yang di-Pertuan Agong dan memohon perkenan baginda untuk membubarkan Parlimen,” jelas Presiden Umno itu dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, ini sesuai juga bagi mengembalikan mandat kepada rakyat, yang sebelum ini ramai yang melompat parti, menjawab cabaran Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bubar Parlimen dan memastikan kestabilan politik dan pemulihan ekonomi negara tidak terganggu pada masa akan datang.

“Hari ini Muhyiddin menafikan tindak tanduk kelompok mereka menyebabkan Perdana Menteri terpaksa membubarkan Parlimen.

“Sedangkan Perdana Menteri menegaskan tindakan 12 Menteri bersikap tidak wajar mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri lantikan Baginda dan mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan yang menyebabkan
Baginda menzahirkan kekecewaan terhadap perkembangan politik semasa tanah air.

“Sepatutnya perkara ini boleh dibincangkan dalam Kabinet tanpa perlu terus kepada Istana Negara dan dihebahkan pula kepada awam. Ternyata tindakan ini adalah niat jahat musuh BN untuk mengaibkan Perdana Menteri dari BN,” bidas Zahid.

Tambah Presiden Umno itu lagi, di sebalik penafian Muhyiddin, parti yang diterajuinya juga menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri dan mendedahkan perjanjian persefahaman beliau.

“Sedangkan Bersatu sudah ada jawatan Menteri Kanan, Menteri-menteri dan jawatan GLC.

“Tuntutan jawatan timbalan perdana menteri tersebut tidak sensitif dengan situasi pemulihan ekonomi negara dan dasar jimat cermat negara.

“Sebaliknya Bersatu asyik memikirkan mengenai jawatan, pangkat dan kedudukan sahaja,” tempelak Zahid.

Bahkan katanya lagi, Muhyiddin pernah mengancam untuk menekan butang menarik sokongan terhadap kepimpinan Ismail Sabri.

“Kali kedua, apabila secara terbuka Muhyiddin juga selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) menyatakan Perdana Menteri gagal menguruskan negara dan ekonomi dengan baik.

“Sedangkan beliau sendiri merupakan Pengerusi MPN, pemimpin Bersatu sendiri Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Malah Muhyiddin menyarankan agar Parlimen dibubarkan atas kegagalan tersebut. Kata beliau lagi perlu ada kerajaan baru yang lebih cekap. Namun Muhyiddin cuba menafikan kenyataannya sendiri,” ujarnya.

Menurut Zahid tenyata dalam tempoh tidak sampai 5 tahun, akibat ketidakstabilan politik sudah terdapat tiga Perdana Menteri bertukar ganti.

“Semoga tragedi politik ini tidak berulang kembali dan perlu diingati selama-lamanya oleh rakyat jelata.

“Rakyat sangat mahukan kerajaan yang stabil dan harmoni sesuai dengan titah baginda Yang di-Pertuan Agong.Insyaallah apabila BN mendapat mandat besar dan kembali menerajui kerajaan perkara ini tidak akan berlaku,” katanya sambil menyatakan BN adalah pembawa kestabilan dan kemakmuran negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat