Charles Santiago saman kerajaan, PM dan SPR

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago memohon perintah mahkamah bagi menghentikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Wakil rakyat berusia 62 tahun itu memfailkan saman pemula melalui Tetuan Surendra Ananth di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa bagi tujuan menghentikan Pilihan Raya Umum kerana musim hujan dan banjir.

Beliau menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri pada masa itu, kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang masing-masing sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga.

Ini susulan pembubaran Parlimen yang dibuat Perdana Menteri kelmarin.

Saman pemula itu difailkan bertujuan menghalang SPR daripada menjalankan Pilihan Raya Umum (PRU).

Berdasarkan salinan saman pemula yang difail itu, Charles menuntut supaya satu deklarasi bahawa kuasa yang terletak pada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 55(2), Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dilaksanakan mengikut Perkara 40(1) dan (1A).

Perkara 55(2) membabitkan Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

Peruntukan Perkara 40(1) pula menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

Manakala (1A) adalah sewaktu menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

Charles juga menuntut satu deklarasi bahawa permintaan Defendan Pertama kepada Yang di-Pertuan Agong pada 9 Oktober 2022 untuk pembubaran Parlimen ke-14 adalah menyalahi Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan kerana permintaan itu tidak dibuat berdasarkan nasihat, atau berdasarkan kuasa am, Jemaah Menteri dan oleh itu terbatal dan tidak sah.

Beliau juga menuntut satu deklarasi bahawa pembubaran Parlimen ke-14 pada 10 Oktober 2022 seperti yang dimaklumkan melalui P.U.(A) 320 tidak mengikut Perkara 55(2) dibaca bersama Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan dan tidak mempunyai kesan undang-undang.

Justeru, Charles menuntut satu deklarasi bahawa defendan ketiga iaitu SPR, tidak mempunyai asas undang-undang untuk mengambil apa-apa langkah mengadakan PRU termasuk, tetapi tidak terhad kepada, pengeluaran mana-mana writ bawah Seksyen 12, Akta Pilihan Raya 1958 dan pengeluaran sebarang notis bawah Peraturan 3(1), Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.

Beliau juga memohon suatu perintah dikeluarkan Mahkamah Tinggi untuk menghalang defendan ketiga dan ejen, pengkhidmat dan/atau pekerjanya daripada mengambil sebarang langkah untuk mengadakan PRU berdasarkan kepada pembubaran itu termasuk, tetapi tidak terhad kepada, pengeluaran sebarang writ bawah Seksyen 12, Akta Pilihan Raya 1958 pengeluaran mana-mana notis bawah Peraturan 3(1), Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 dan/atau daripada memberi kesan kepada mana-mana writ atau notis sedemikian jika dikeluarkan.

Beliau turut menyertakan afidavit sokongan yang antara lain menyatakan antara fakta menyokong saman pemula berkenaan termasuk banjir yang melanda pada Disember 2021 serta bantahan parti-parti yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan dalam situasi ketika ini.

Pada 10 Oktober lalu, Perdana Menteri mengumumkan beliau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen Ke-14.

Ia selaras Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, apabila Yang di-Pertuan Agong bertindak menurut budi bicara baginda untuk memperkenankan permintaan itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat