Menjejaki Macau Scam, Jangan Sampai Tertipu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR  — Mutakhir ini, semakin menjadi-jadi kes penipuan Macau Scam yang melibatkan bukan sahaja warga tua sebagai mangsa, malah orang muda juga turut terbelit dengan perangkap sindiket dan kerugian ada yang mencecah jutaan ringgit.

Mengambil contoh kes di Petaling Jaya yang dilaporkan pada 9 Okt, seorang pengurus agensi perbankan kerugian hampir RM2 juta ditipu sindiket Macau Scam ini.

Liciknya modus operandi (MO) ini apabila seorang wanita menyamar sebagai ‘pegawai polis’ menghubungi pengurus itu pada petang 5 Mei dan menyakinkan mangsa terbabit dengan kes langgar lari yang menyebabkan kematian. Beliau juga didakwa mempunyai rekod kes pengubahan wang haram.

Mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas mendapati semua wang yang dipindahkannya ke dalam akaun bank baharu seperti yang diarahkan ‘pegawai polis’ itu lesap begitu sahaja.

Kes yang sama juga dilaporkan berlaku di Kajang baru-baru ini, apabila seorang guru wanita berusia 49 tahun kerugian hampir RM1.13 juta selepas terpedaya dengan panggilan daripada individu, menyamar sebagai pegawai polis.

Mangsa diminta membuat dua akaun bank dan memasukkan sejumlah wang yang diminta ke dalam akaun berkenaannya. Apabila mendapati dirinya tertipu, guru itu  segera membuat laporan polis. Bagaimanapun, wang lebih sejuta itu sudah lesap dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

PENIPUAN TELEKOMUNIKASI

Mengakui sebenarnya semua orang mudah terdedah kepada pelbagai jenis scam termasuklah Macau Scam, Pakar Kriminologi & Psikologi Prof Madya Dr Geshina Ayu Mat Saat berkata, terdapat pelbagai faktor yang memungkinkan orang ramai tidak menyedari mereka diperdaya permainan licik sindiket ini.

“Perlu kita faham Macau Scam dikategorikan sebagai satu jenayah penipuan telekomunikasi. Scammer berusaha membuat penampilan sebagai pegawai yang mempunyai autoriti, serta mampu menimbulkan rasa was-was, panik, dan keinginan terhadap mangsa untuk membela diri atau mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.

“Sementara faktor orang kita mudah tertipu dengan sindiket ini ialah kerana kewibawaan dan kesahihan yang ditunjukkan oleh penipu dengan menggunakan aspek tindak balas viseral yang membuatkan mangsa bertindak tanpa berfikir terlebih dahulu, pemerasan, tekanan, keserakahan, kelalaian, kenaifan, dan paksaan,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Pensyarah Sains Forensik Universiti Sains Malaysia (USM) itu itu menambah, sikap tidak peduli orang ramai untuk mengetahui kehalusan pancingan scammer juga boleh menjadi salah satu faktor penyumbang.

Beliau menjelaskan, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2017 menghuraikan empat MO Macau Scam iaitu lucky draw, authority spoofing (menyamar sebagai pegawai polis atau penjawat awam), bank spoofing (menyamar sebagai pegawai bank), dan menyamar sebagai penculik.

Namun, hasil kajian lepas dan laporan rasmi dari luar Malaysia pula menunjukkan MO serta fenomena Macau Scam ini lebih luas.

Dalam usaha memberi pendidikan kepada orang ramai tentang bahaya penipuan sindiket ini, beliau menegaskan supaya orang ramai jangan lalai dan memberi kebenaran tacit (diam/tunduk patuh) kepada sindiket dengan mendedahkan maklumat peribadi terutamanya nombor akaun bank; serta kegagalan untuk mengemas kini atau mengubah keselamatan pada komputer peribadi dan laman web urus niaga kewangan perlulah dijauhi.

“Orang ramai juga boleh menggunakan portal dan aplikasi semakan akaun penipu yang dibangunkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) PDRM iaitu Semak Mule. Ini satu ikhtiar yang bernas,” tambahnya.

KERUNTUHAN NILAI INTEGRITI

Selain isu Macau Scam, wujud juga satu isu lain yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat iaitu kegiatan pengubahan wang haram ataupun dipanggil kegiatan  ‘mencuci duit’.

Dilaporkan ada beberapa individu daripada kalangan pegawai penguatkuasa yang sanggup ‘mengotorkan tangan’ dengan turut terlibat dalam sindiket ini. Perkara ini sudah tentunya sukar untuk kita terima!

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menahan 10 orang individu termasuk lapan orang pegawai kanan PDRM serta merampas wang tunai RM100,000 berhubung siasatan kes kegiatan pengubahan wang haram hasil aktiviti judi dalam talian dan Macau Scam. Difahamkan pegawai terbabit ditahan kerana dipercayai melindungi sindiket tersebut selama ini.

Ketua Pengarah SPRM, Datuk Seri Azam Baki dilaporkan berkata pihaknya juga menyita 730 akaun bernilai RM80 juta milik ahli sindiket yang ditahan termasuk selebriti. Turut disita sebanyak 24 buah kenderaan mewah bagi tujuan siasatan.

Turut dilaporkan, dalang utama sindiket dipercayai rakyat China, tetapi beroperasi menggunakan ejen di Malaysia untuk menguruskan ‘pelaburan’ termasuk mencari perniagaan berpotensi sebagai platform ‘mencuci’ wang hasil penipuan itu. Turut dibongkar beratus-ratus syarikat dummy sengaja diwujudkan bagi menyalurkan dan ‘mencuci’ wang haram itu.

Peguam Cara dan Peguam Bela di Tetuan Nor Zabetha Chinna & Co, Nor Zabetha Muhd Nor ketika diminta mengulas perkara ini berkata, amatlah tidak wajar mereka yang memiliki kad penguat kuasa menyalahguna kuasa yang mereka ada.

“Salah laku yang boleh merosakkan integriti dan nama baik badan pelaksana undang-undang itu sendiri. Isu ketirisan integriti dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan segelintir pegawai penguat kuasa semakin membimbangkan. Malah tidak keterlaluan jika kita katakan pegawai terbabit ini sebenarnya membantu menyembunyikan aktiviti ini, dan mereka ini boleh didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

“Merujuk kepada kes ini, mungkin pegawai yang ditangkap ini disyaki banyak membantu sindiket dengan memberi segala maklumat yang diperlukan, selain menyalahguna kuasa yang mereka ada serta dibayar pula ganjaran oleh sindiket terbabit kerana melindungi kegiatan mereka. Namun sama ada mereka bersalah atau tidak adalah bergantung kepada hasil akhir siasatan nanti,”  jelasnya ketika ditemui di firmanya, baru-baru ini.

PERTINGKAT PELAKSANAAN TINDAKAN

Nor Zabetha menegaskan, perkara paling utama sekarang adalah untuk mempertingkatkan peratusan pelaksanaan tindakan terhadap laporan yang diterima pihak berkuasa, supaya ianya selari dengan jumlah laporan yang diterima.

“Secara peribadi, saya melihat undang-undang dan hukuman sedia ada melibatkan isu ini sudah mantap, namun kadar peratusan pelaksanaannya yang dilihat agak rendah. Apabila semakin banyak siasatan, tindakan dan paling utama ada hukuman yang dikenakan kepada pelaku oleh pihak berkuasa dijalankan akan menjadikan penjenayah lebih takut.

“Di Malaysia, bukan sahaja kes penipuan Macau Scam tetapi jenis-jenis penipuan lain, malahan ada yang dilaporkan jutaan ringgit wang penipuan yang dikumpulkan oleh penjenayah. Namun kita dapat lihat ada di antaranya, tiada tangkapan atau hukuman penjara menyebabkan penjenayah semakin berani untuk melakukan aktiviti penipuan kerana memikirkan mereka mungkin bebas dan lepas tanpa sebarang tindakan,” jelasnya.

————————————————————————————————-

RUANGAN SISI:

Terdapat beberapa akta yang digunakan oleh pihak berkuasa dalam menangani kes penipuan macau Scam ini. Untuk kes yang dibincangkan dalam rencana ini, ada dua akta yang berkaitan, iaitu

1)Akta 613: Antara kesalahan membabitkan pengubahan wang haram ialah (a) mana-mana individu yang melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung, dalam transaksi yang melibatkan hasil dari aktiviti haram atau peralatan kesalahan, (b)  memperoleh, menerima, memiliki, menyembunyikan, memindahkan, mengubah, menukar, membawa, melupuskan, atau menggunakan hasil dari aktiviti haram atau peralatan kesalahan.

Mereka yang bersalah boleh disabitkan penjara tidak melebihi 15 tahun, dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil dari aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan, atau denda RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.

2)Seksyen 420 Kanun Keseksaan pula membabitkan kesalahan menipu secara curang ​​untuk mendorong secara memperdayakan bagi penyerahan wang atau harta benda mangsa kepada dirinya.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, dan hukuman sebat, dan boleh juga dikenakan denda.

BERNAMA

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat