Elak buat tuduhan melulu dan penghakiman politik isu Lembaga Tabung Haji – BN

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mengingatkan bahawa semua pihak perlu mengelak dari membuat tuduhan melulu, membuat penghakiman politik sebelum proses perundangan selesa dan mencipta naratif yang boleh menjejaskan keyakinan tanpa asas berkaitan isu Lembaga Tabung Haji (TH).

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kepentingan pendeposit TH mesti mengatasi kepentingan politik kerana ia bukan sekadar entiti kewangan malah ia adalah institusi umat Islam yang mempunyai amanah yang besar.

Kenyataan itu jelas menyebut BN mengambil maklum pembentangan dan perbahasan khas Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat pada 11 Ogos yang lalu.

“Pendirian BN adalah jelas dan konsisten: tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan daripada rakyat, khususnya kepada 10 juta pendeposit Tabung Haji.

“Hakikat bahawa laporan RCI telah dinyahklasifikasikan, dibentangkan secara terbuka, dan dibahaskan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat membuktikan bahawa proses ketelusan dilaksanakan melalui saluran institusi negara yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media.

Semua pihak perlu hormati proses institusi negara kerana RCI adalah mekanisme diwujudkan di bawah undang-undang negara untuk menyiasat isu berkepentingan awam, menurut Dr Zambry.

“Laporan tersebut perlu diteliti secara objektif, berasaskan fakta dan bukti, bukannya dijadikan bahan penghukuman politik.

“Perbahasan juga turut mengesahkan bahawa RCI ini memfokuskan pada tempoh 2014 hingga 2020 sahaja.

“Oleh itu, adalah wajar kajian menyeluruh mengenai keseluruhan sejarah tadbir urus Tabung Haji dengan turut membuat penelitian terhadap tempoh-tempoh lain, termasuk perkembangan dan keputusan selepas tahun 2020 seperti peranan yang dimainkan oleh Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) sejak penubuhannya sehingga kini,” katanya.

Beliau berkata dapatan RCI menyentuh isu tadbir urus, struktur kuasa, pemisahan fungsi dan mekanisme semak imbang.

Katanya, Perkara-perkara ini perlu dilihat sebagai asas untuk memperkukuh institusi Tabung Haji, bukan mencari keuntungan politik jangka pendek.

“BN menyambut baik usaha penambahbaikan yang telah dilaksanakan, termasuk pelaksanaan syor-syor RCI, dan berpandangan bahawa transformasi institusi perlu diteruskan secara konsisten,” ujarnya.

Dr Zambry menyatakan bahawa Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sejak awal telah menyatakan sokongan supaya laporan RCI didedahkan di Parlimen dan dibahaskan secara khas.

“Beliau turut mencadangkan supaya penelitian diperluaskan bagi memastikan ketelusan yang benar-benar menyeluruh.

“Ini menunjukkan bahawa BN tidak pernah mengambil pendirian untuk menutup ruang penelitian awam terhadap isu Tabung Haji,” katanya.

BN berpandangan bahawa sidang khas Parlimen telah membuka ruang yang luas untuk penelitian awam terhadap laporan RCI Tabung Haji.

“Ketelusan telah dilaksanakan. Perbahasan telah berlangsung. Transformasi sedang berjalan.

“Maka, fokus selepas ini bukan lagi untuk menimbulkan persepsi bahawa ada pihak yang cuba menyembunyikan sesuatu, tetapi untuk memastikan tadbir urus Tabung Haji terus diperkukuh, syor penambahbaikan dilaksanakan sepenuhnya dan keyakinan pendeposit serta umat Islam terhadap institusi TH terus terpelihara,” jelasnya.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat