AMK dakwa Pas angkat budaya politik pelampau

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa kenyataan Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari seolah-olah mahu menjadi “enabler” terhadap tindakan ganas dan biadab yang berlaku di Kampung Sungai Baru, semalam.

Ketua AMK Kamil Munim berkata, menghalalkan keganasan atau kekerasan fizikal terhadap pihak berkuasa keselamatan dalam keadaan tiada seorang pun penduduk yang dicederakan oleh pihak berkuasa adalah sesuatu yang menuntut kecaman dan kejian dari semua pihak yang cintakan keamanan.

“Merujuk kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim betapa kerajaan bersikap terbuka untuk sebarang kritikan dan teguran yang membina dalam pelbagai isu. Budaya demokratik yang sihat ini terus segar di bawah Kerajaan Madani, dan pihak berkuasa memberi ruang dan kemudahan agar sebarang bantahan mahupun kritikan itu dilonjak dengan baik dan beradab, serta tidak bertentangan dengan prinsip Perlembagaan dan hukum.

“Tetapi kenyataan ini seolah-olah mahu menjadi “enabler” terhadap tindakan ganas dan biadab yang berlaku di Kampung Sungai Baru. Menghalalkan keganasan atau kekerasan fizikal terhadap pihak berkuasa keselamatan dalam keadaan tiada seorang pun penduduk yang dicederakan oleh pihak berkuasa adalah sesuatu yang menuntut kecaman dan kejian dari semua pihak yang cintakan keamanan.

“Individu yang mendatangkan kecederaan langsung tidak disentuh dan dikecam, berdasarkan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas.

“Apakah Pas hari ini bertekad untuk mengangkat budaya politik pelampau selepas insiden qunut nazilah tempoh hari dan hari ini berdiam diri tatkala anggota keselamatan diperlakukan sedemikian rupa? soal Kamil.

Kata beliau lagi, sebahagian pimpinan Pas yang mengamalkan politik ala khawarij ini harus ditentang dan ditolak sekerasnya demi sebuah Malaysia yang aman dan stabil.

“Saya menggesa siasatan dijalankan dengan telus dan adil dan pembelaan sewajarnya kepada pegawai polis yang dicederakan,” ujar Kamil lagi.

Semalam Fadhli berkata, Pas menzahirkan simpati dan solidariti penuh kepada penduduk Kampung Sungai Baru yang terpaksa berdepan kesusahan mendadak akibat pengosongan ini.

Dalam pada itu, simpati turut dirakamkan kepada seorang anggota polis yang dilaporkan cedera ringan dalam kekecohan tersebut.

Ketua Penerangan Pas itu turut mengecam tindakan pemaju yang melaksanakan pengosongan terhadap 179 penduduk Kampung Sungai Baru pada 11 September 2025 berasaskan perintah mahkamah melalui Order 89.

Pas juga mengingatkan rakyat Malaysia bahawa apa yang berlaku di Kampung Sungai Baru ini adalah gambaran awal atau ‘teaser’ sekiranya Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) dilaksanakan kelak.

“Tanpa budi bicara, pemaju diberi kuasa penuh, dan rakyat berisiko dihalau dari kediaman mereka sendiri.

“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama bangkit membela penduduk Kampung Sungai Baru dan terus membantah RUU URA yang akan dibawa semula ke Parlimen pada bulan Oktober 2025,” kata Fadhli.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat