KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli menyelar pemakluman daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa sebanyak 41 daripada 60 kertas siasatan membabitkan kes jenayah yang dibuka terhadap ahli politik dalam tempoh 2020 hingga Julai lalu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Bekas Menteri Ekonomi itu mendakwa, nilai anugerah kebesaran atau NFA ini mungkin melibatkan nilai berjuta-juta ringgit, sebab setiap yang disenarai pendek mesti melibatkan urus niaga melibatkan juta-juta.
“Sekarang ada anugerah kebesaran yang lebih bernilai dari pingat-pingat biasa. Dalam tempoh antara tahun 2020 hingga Julai 2025, daripada 60 penerima anugerah kebesaran ini yang dipertimbangkan, akhirnya hanya 41 orang sahaja yang diberikan anugerah ini.
“Cara lain nak tengok kehebatan anugerah ini susah untuk disenarai pendek, tetapi bila dah masuk senarai pendek, peluang nak dapat anugerah ini mudah. Sebab 41 yang menerima dari 60 yang disenarai pendek itu bermaksud 68 peratus, iaitu lebih dari dua pertiga akhirnya berjaya.
“Nilai anugerah kebesaran ini pula saya ingat mesti berjuta-juta, sebab setiap yang disenarai pendek mesti melibatkan urusniaga melibatkan juta-juta. Anugerah kebesaran yang saya maksudkan ialah anugerah kepada ahli-ahli politik yang dibuka kertas siasatan jenayah tetapi akhirnya tidak ada tindakan lanjut. Sebab itu dapat anugerah darjat istimewa yang dipanggil NFA – No Further Action,” bidas Ahli Parlimen Pandan itu.
Kata Rafizi, untuk berlaku adil, kita sebenarnya tidak ada maklumat terperinci mengenai kes jenayah apa dan ahli politik mana.
“Yang kita tahu, ia melibatkan dua pentadbiran dan tiga Perdana Menteri dalam tempoh 2020 hingga Julai 2025, iaitu pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, serta pentadbiran Madani di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jadi semua parti dan ahli politik dari parti yang berbeza-beza ini tidak boleh tuding jari siapa yang lebih teruk, sebab prestasi anugerah 68 peratus NFA kepada ahli politik yang dibuka kertas siasatan jenayah ini melibatkan ketiga-tiga Perdana Menteri dan PH, BN dan PN.
“Macam yang saya sebut tadi, kita tidak tahu kes apa. Tetapi pada pandangan rakyat, takkan ahli politik curi susu sebab tak de duit. Selalunya kes-kes jenayah ahli politik melibatkan salah guna kuasa dan rasuah.
“Kecualilah zaman saya sepuluh tahun lepas semasa saya membongkarkan skandal-skandal besar negara. Masa itu semua dakwaan terhadap saya tidak ada kena mengena dengan rasuah atau salah guna kuasa. Semuanya berkaitan usaha menutup mulut saya dari bersuara, jadi saya didakwa di bawah Akta Hasutan, didakwa menghina Umno dan lain-lain.
“Tapi seingat saya selepas 2018, dakwaan seperti itu sudah tidak ada kerana tak ada ahli Parlimen yang ambil risiko bongkar rasuah. Maka, jangkaan saya, antara tahun 2020 hingga 2025 ni sebahagian besar kertas siasatan terhadap ahli politik, besar kemungkinannya adalah berkaitan salah guna kuasa dan rasuah,” dakwa bekas Timbalan Presiden PKR itu lagi.
Ujar Rafizi, apabila lebih dua pertiga diberi anugerah NFA dan tidak didakwa pun, beliau fahamlah kalau rakyat bandingkan dengan layanan terhadap rakyat biasa yang dituduh mencuri susu.
“Saya pun dah tak tahu nak komen apa. Kita balik main dengan kucing je lah macam ni,” seloroh beliau.
Azalina sebelum ini berkata, sebanyak 41 daripada 60 kertas siasatan membabitkan kes jenayah yang dibuka terhadap ahli politik dalam tempoh 2020 hingga Julai lalu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Jelas beliau, siasatan dan semakan lanjut terhadap kes terbabit masih boleh dijalankan sekiranya ada perkembangan baharu pada masa depan.
“Berdasarkan maklum balas Jabatan Peguam Negara (AGC), sepanjang 2020 hingga Julai lalu, 60 kertas siasatan dibuka terhadap ahli politik dengan 41 daripadanya diklasifikasikan sebagai NFA.
“Bagaimanapun, kes jenayah tidak seperti kes sivil, ia tidak tertakluk kepada had tempoh masa. Jadi, jika terdapat perkembangan baharu pada masa depan, siasatan dan semakan lanjut terhadap kes ini masih boleh dijalankan,” katanya melalui jawapan bertulis Dewan Negara.
Azalina berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Hussin Ismail yang meminta Perdana Menteri menyatakan peratusan kes jenayah membabitkan ahli politik yang diklasifikasikan sebagai NFA antara 2020 hingga 2025.
Pada masa sama, Azalina berkata, berhubung dengan mekanisme atau garis panduan bagi memastikan klasifikasi NFA tidak dipengaruhi campur tangan politik, AGC meneliti secara menyeluruh semua keterangan dikemukakan dalam kertas siasatan oleh polis tanpa mengambil kira latar belakang individu disiasat.
Beliau berkata, penilaian dibuat berasaskan fakta, bukti dan undang-undang yang terpakai dengan mengambil kira prinsip integriti, ketelusan serta kebebasan pendakwaan.



