Tak sangka album ‘suka-suka’ menang – Yonnyboii

- Advertisement -

SHAH ALAM: Penyanyi hip hop, Yonnyboii tidak sangka album Yonny (Deluxe Version) yang dihasilkan ‘suka-suka’ diumumkan Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23, malam tadi.

Yonnyboii berkata, biarpun dibikin dalam serba kekurangan, namun, dia bangga karyanya diiktiraf pada acara berprestij itu.

“Saya sangat gembira dan tak sangka menang kerana saingan sangat hebat. Malah, saya tak terfikir pun menang.

“Album ini dihasilkan dalam tempoh dua bulan. Ini adalah album paling cepat saya pernah siapkan.

“Proses pembikinannya dilakukan saya sendiri. Lagu saya tulis sendiri manakala susunan muzik, saya minta bantuan pasukan saya.

Yonnyboii menganggap album Yonny (Deluxe Version) yang dihasilkan sebagai projek ‘suka-suka’ dan lagu terkandung dalam bingkisan itu umpama ‘sampah’. Foto IG Yonnyboii
Yonnyboii menganggap album Yonny (Deluxe Version) yang dihasilkan sebagai projek ‘suka-suka’ dan lagu terkandung dalam bingkisan itu umpama ‘sampah’. Foto IG Yonnyboii

 

“Rakaman album ini di buat di rumah. Ketika itu, alat pendingin hawa pun tidak ada lagi.

“Namun, saya sangat bangga dengan album ini kerana selepas susah payah dilalui, akhirnya membuahkan hasil,” katanya ditemui sejurus AIM 23 melabuhkan tirainya di sini, malam tadi.

Berkongsi kisah menarik di sebalik pembikinan album ini, penyanyi lagu Sakit ini mendedahkan kebanyakan lagu yang terkandung dalam album ini diibaratkan ‘sampah’.

“Album ini dihasilkan suka-suka. Saya tidak letak sasaran apa-apa pun. Sejujurnya, lagu-lagu dalam album ini saya kategorikan sebagai ‘sampah’ .

“Lagu ini adalah himpunan single yang saya letak tepi dahulu. Ini kerana saya mahu tumpukan perhatian kepada penghasilan single baharu.

“Namun, disebabkan label (syarikat rakaman) meminta saya siapkan lagu-lagu lama ini dan dijadikan album, saya akur.

“Ketika itu, agak terbatas berikutan kita masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Selain dicalonkan untuk kategori Album Terbaik, album itu juga bersaing dalam kategori Rakaman Album Terbaik.

Dengan kejayaan yang diraih, Yonnyboii berharap dapat dijadikan contoh kepada bakat baharu agar tidak putus asa mengejar impian biarpun berdepan pelbagai kekangan.

“Kepada penggiat seni di luar sana, ingatlah tiada apa yang mustahil untuk digapai. Semuanya ada nilai dan gaya masing-masing.

“Walaupun tidak semua orang faham hasil seni kita, tetapi, percayalah, bakat itu ada. Berkaryalah dengan penuh kebebasan.

“Kejayaan yang saya kecapi ini membuktikan kita boleh melakukan sesuatu walaupun ada yang melabel saya penyanyi ‘one hit wonder’ atau tidak laku,” katanya.

Dalam kategori Album Terbaik, Yonnyboii mengenepikan empat calon lain iaitu Di Persiaran Cakrawala yang dihasilkan Ramayan; Tuju Untuk Kamu 18/19 (Tuju); Second Voyage (Sekumpulan Orang Gila) dan Sesudah Melakar Langit (A Limin).

Kemenangan itu juga melayakkan Yonnyboii membawa pulang Dana Kandungan Digital (DKD) Muzik berjumlah RM200,000 daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sebagai insentif kepada penggiat industri kreatif.

AIM 23 disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, malam tadi.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat