Sesi Persekolahan Kaedah Penggiliran Murid Kurangkan Risiko Covid – Dr Radzi

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Sesi persekolahan secara bersemuka dengan kaedah penggiliran murid secara mingguan yang dirancang Kementerian Pendidikan (KPM) dapat mengurangkan kapasiti di dalam kelas sekali gus mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 di sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Seri Dr Radzi Jidin berkata kaedah penggiliran juga dapat membantu guru membuat pengawalan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan murid memandangkan jumlah mereka dikurangkan 50 peratus.

“Ini merupakan satu kaedah dan pendekatan baharu yang diambil daripada pandangan semua pihak untuk mencari jalan terbaik memastikan anak-anak dapat kembali ke sekolah dengan selamat,” katanya dalam sidang media mengenai pengoperasian sekolah hari ini.

Mengulas lanjut mengenai sistem penggiliran mingguan itu, Radzi berkata murid dalam satu kelas akan dibahagi kepada dua kumpulan dengan kumpulan pertama akan mengikuti pembelajaran secara bersemuka sementara kumpulan kedua akan mengikuti pembelajaran secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dan mereka akan bergilir pada minggu berikutnya.

Katanya di sekolah, guru akan mengajar murid topik penting dan utama serta menjelaskan kepada murid perkara yang perlu dilakukan pada minggu mereka melaksanakan PdPR termasuk menyediakan bahan serta melalui TV pendidikan iaitu Didik TV.

Bagaimanapun, Radzi berkata terdapat pengecualian penggiliran murid diberikan berdasarkan fasa, iaitu melibatkan murid berkeperluan khas, tingkatan enam semester dua, murid di sekolah asrama penuh, murid kelas peperiksaan antarabangsa, murid prasekolah, tadika swasta, pusat perkembangan minda (empat hingga enam tahun) dan sekolah kurang murid.

Menjelaskan mengenai sesi persekolahan 2021 yang akan dilanjutkan sehingga Mac 2022, Radzi berkata tempoh dua bulan itu ditambah bagi membantu meningkatkan tahap penguasaan pembelajaran murid bagi memastikan mereka lebih bersedia untuk ke kelas berikutnya.

“Kita mahu lihat apakah bantuan, dorongan dan sokongan yang boleh diberikan kepada anak-anak ini kerana mereka yang lemah kita boleh tingkatkan intervensi dan murid yang hebat dan cemerlang kita akan kukuhkan kefahaman.

“Ini merupakan anjakan baharu dalam menangani keadaan sebahagian murid kita yang mungkin tidak dapat mengikuti PdPR dengan baik dan tertinggal untuk persiapan tahun berikutnya,” katanya.

Berikutan lanjutan sesi persekolahan itu, Radzi berkata murid Tahun Satu 2022 akan masuk ke sekolah pada Mac 2022.

Sesi persekolahan secara bersemuka bermula 3 Okt ini akan dijalankan mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) negeri-negeri.

Buat masa ini, negeri-negeri yang diletakkan di bawah Fasa Satu PPN ialah Kedah dan Johor, Fasa Dua (Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Sabah), Fasa Tiga (Perlis, Negeri Sembilan, Sarawak) dan Fasa Empat ialah Labuan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat