KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh tidak memilih bulu soal kesilapan Jalur Gemilang bahkan menuntut polis mengenakan tindakan keras kepada pihak yang mereka grafik poster Pemuda Umno Terengganu dan tidak mahu hanya diredakan dengan permohonan maaf.
Kata Akmal kesilapan tidak cukup dua jalur pada bendera Malaysia dalam hantaran Facebook Pemuda Umno Terengganu itu bukanlah kesalahan kecil.
“Nak beritahu juga kepada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke bahawa Pemuda Umno Terengganu dia buat satu poster tak cukup jalur, dua jalur tak cukup kat situ.
“Saya dah kenal pasti bahawa kesilapan itu memang datang daripada orang yang buat poster tu.
“Kemudian kita bertanggungjawab dan saya sendiri hari ini menggesa bahawa tindakan yang keras atau laporan polis atau tindakan yang yang keras perlulah dikenakan kepada orang yang buat ni (grafik poster).
“Saya tak nak hanya minta maaf, walaupun ini adalah Pemuda Umno Terengganu, pemuda saya. Saya tak nak mereka hanya minta maaf …saya minta pihak polis siasat dan kenakan tindakan yang keras kepada orang yang buat ini,” tegas Akmal dalam video yang dimuat naik di Facebooknya.
Ini reaksi susulan insiden Pemuda Umno Terengganu semalam memuat naik grafik bagi menyatakan kemarahan mereka terhadap kesilapan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di Pulau Pinang, selain menuntut pembelaan terhadap kematian pelajar Sabah, Zara Qairina Mahathir – yang dikatakan menjadi mangsa buli.
Grafik itu memaparkan Jalur Gemilang dan gambar hitam putih Zara.
Bagaimanapun, Jalur Gemilang dalam grafik tersebut hanya mempunyai 12 jalur, bukannya 14 seperti yang sepatutnya.
Kesilapan itu disedari oleh pengguna media sosial yang peka, dan ramai antara mereka mempersoalkan sama ada Akmal akan juga ‘menyerang’ Pemuda Umno Terengganu.
Kata Akmal, desakan beliau ini bukan bermotif politik sebaliknya tanda hormat kepada lambang negara.
“Sebab apa kita buat ini bukan politik, ini soal kita nak hormat lambang negara kita tak kira siapa kamu bangsa kamu walaupun kamu fahaman politik apa sekalipun.
“Walaupun ini adalah geng saya salah tetap salah dan saya minta polis untuk siasat dan kenakan tindakan yang keras kepada orang yang buat poster ini.
“Ini satu tindakan yang tidak boleh kita terima walaupun dia datang daripada keluarga dan juga daripada kawan kami sendiri.
“Jadi kepada Anthony loke kami bukan hipokrit seperti anda,” selar Akmal.



