Amber Eksklusif” kukuhkan strategi pasaran fesyen kasual premium tempatan dengan koleksi terbaru

Cyberjaya – Ketika industri fesyen Malaysia masih banyak dipengaruhi oleh jenama antarabangsa yang mendominasi pusat beli-belah, muncul jenama tempatan yang berani menempatkan dirinya di liga yang sama. Amber Eksklusif Casual Wear, di bawah Usanita Sdn Bhd, melancarkan koleksi terbaharu “Somewhere, Somehow, Someone” bukan sekadar untuk mempamerkan reka bentuk baharu, tetapi sebagai strategi memperkukuh kedudukan mereka dalam pasaran fesyen kasual premium.

Pelancaran ini diadakan di Shangri-La Kuala Lumpur, lokasi yang mencerminkan imej mewah dan sofistikated yang cuba dibina Amber. Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datuk Adzliana Hasan, melihat koleksi ini sebagai langkah penting dalam kesinambungan perjalanan jenama yang sejak awal ditubuhkan sudah menetapkan “benchmark” yang tinggi.

“Amber ini kita mulakan dengan satu benchmark sebagai fashion icon. Jadi benchmark itu dah ada, cabarannya sekarang adalah untuk kekal relevan. Kita kena sentiasa melahirkan koleksi yang bersesuaian dengan apa yang ada di luar sana, sambil memastikan ia ada personaliti eksklusif Amber sendiri,” jelas beliau.

Dalam dunia fesyen, memiliki rekaan yang cantik sahaja tidak cukup. Jenama perlu memiliki naratif, personaliti, dan konsistensi visual yang kukuh untuk mengekalkan kedudukan dalam pasaran. Amber memahami perkara ini dan menggunakan koleksi Somewhere Somehow Someone sebagai kesinambungan kepada identiti yang sudah dibina minimalis, mewah, dan berasaskan kualiti.

Pemilihan nama koleksi juga mencerminkan strategi naratif Amber. Somewhere Somehow Someone memberi gambaran universal, tidak terikat pada geografi atau musim tertentu, membolehkan ia diinterpretasi mengikut gaya hidup pelbagai segmen pelanggan.

Amber melantik dua figura terkenal, Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah, sebagai duta rasmi. Langkah ini adalah strategi “brand-personality alignment” memastikan wajah yang mewakili jenama selari dengan nilai terasnya.

Dayang, yang jarang bekerjasama dengan produk tempatan, menjadikan penglibatannya sebagai satu titik penting dalam penjenamaan Amber. “Dayang memilih untuk bersama Amber adalah satu penghormatan besar buat kami,” kata Datuk Adzliana. “Kepercayaan beliau terhadap jenama tempatan yang menepati standard antarabangsa membuktikan bahawa fesyen buatan Malaysia mampu berdiri setaraf jenama global.”

Hael pula tidak hanya menjadi wajah promosi, tetapi turut terlibat secara kreatif. Beliau memberi input mengenai potongan, warna, dan kesesuaian koleksi dengan pasaran generasi muda. Ini membolehkan koleksi tersebut memikat bukan sahaja golongan profesional berusia, tetapi juga Gen Z dan Gen Alfa.

Koleksi Somewhere Somehow Someone dibangunkan dengan pendekatan minimalis yang rapi. Reka bentuknya tidak memaparkan logo besar atau corak berlebihan, sebaliknya fokus kepada potongan bersih, kemasan berkualiti, dan palet warna neutral seperti hitam, kelabu asap, krim, dan hijau zaitun.

Fabrik seperti kapas dan satin dipilih bukan sahaja untuk memberi keselesaan, tetapi juga kerana kesesuaiannya dengan iklim Malaysia. Pendekatan ini memenuhi keperluan pelanggan tempatan yang mahukan pakaian premium yang tetap praktikal untuk cuaca panas dan lembap.

Walaupun membawa imej premium, harga koleksi ini bermula sekitar RM100 hingga RM200+. Strategi ini membolehkan Amber menembusi pasaran yang lebih luas, termasuk golongan M40 atasan dan T20, sambil mengekalkan rasa eksklusif.

Amber juga mengawal pengedaran secara ketat hanya dijual di butik Amber Wangsa Walk Mall, butik flagship di Shangri-La Hotel Kuala Lumpur, dan platform e-dagang rasmi. Pendekatan ini memupuk persepsi eksklusif sambil memastikan kawalan penuh terhadap pengalaman membeli pelanggan.

“Ramai yang fikir fesyen eksklusif mesti mahal. Kami mahu buktikan tidak semestinya begitu. Yang penting adalah kualiti, potongan, dan pengalaman pelanggan,” kata Datuk Adzliana.

Salah satu elemen strategik koleksi ini ialah penggabungan modest fashion yang mesra Muslimah, sejajar dengan pertumbuhan pasaran pakaian sopan di peringkat global. Potongan yang lebih feminin, mesra hijab, tetapi kekal moden membolehkan Amber memikat segmen pelanggan wanita berhijab tanpa menolak pelanggan bukan Muslim.

Koleksi ini direka untuk merangkumi pelbagai suasana  gaya lasak untuk aktiviti luar, gaya santai untuk acara sosial, dan gaya metropolitan untuk persekitaran korporat atau bandar. Pendekatan pelbagai fungsi ini membolehkan Amber menarik pelanggan yang mahukan pakaian yang boleh dipakai merentas acara dan waktu.

Dalam ekosistem fesyen Malaysia, jenama antarabangsa sering mendominasi segmen premium dengan kelebihan pemasaran global dan pengiktirafan jenama. Namun, Amber mengambil laluan berbeza dengan menonjolkan identiti tempatan sebagai kekuatan utama. Strategi ini membolehkan mereka bersaing dengan menawarkan kualiti setanding tetapi pada harga yang lebih kompetitif.

Dengan pelancaran Somewhere Somehow Someone, Amber sedang bergerak ke arah model perniagaan “premium accessible” yang semakin mendapat tempat di pasaran global. Jika strategi ini dikekalkan, Amber bukan sahaja berpotensi mengekalkan dominasi di pasaran domestik, tetapi juga berpeluang menembusi pasaran serantau, khususnya di negara-negara jiran yang mempunyai cita rasa fesyen dan latar budaya yang hampir sama.

“Kita mahu setiap helaian Amber menjadi bukti bahawa Malaysia bukan sekadar mengikut trend, tetapi mampu mencipta trend sendiri,” tegas Datuk Adzliana.

Koleksi ini, dengan reka bentuk versatil, strategi pemasaran tepat, dan harga berpatutan untuk segmen sasarannya, membuktikan bahawa fesyen kasual premium tempatan kini berada di landasan yang betul untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat