KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini menerima memorandum daripada penganjur himpunan aman #KeadilanUntukZara yang berlangsung di Taman Tugu dan di hadapan Pintu Utama Parlimen Malaysia. Memorandum tersebut diserahkan kepada Ketua Setiausaha KPM, Dato’ Dr. Ts. Haji Aminuddin bin Hassim.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau turut menerima kunjungan wakil aktivis pelajar di Bangunan Parlimen bagi membincangkan secara lanjut kebimbangan yang dibangkitkan.
Memorandum itu mengandungi empat tuntutan utama kepada KPM, iaitu:
1. Reformasi menyeluruh sistem pendidikan berkaitan isu buli – KPM telah melaksanakan audit keselamatan, menambah baik sistem aduan buli, menubuhkan jawatankuasa reformasi keselamatan, dan mengenakan tindakan tegas terhadap pelaku.
2. Sesi libat urus dengan gerakan mahasiswa dan masyarakat sivil – KPM bersetuju untuk mengadakan sesi libat urus serta menerima cadangan bagi menambah baik garis panduan menangani kes buli.
3. Latihan mandatori kepada guru, pentadbir dan warden – Latihan berkala akan diperkukuh bagi memastikan kesiapsiagaan mengendalikan kes buli secara profesional.
4. Penjelasan terbuka kepada masyarakat mengenai tindakan kes Zara Qairina – KPM memberi kerjasama penuh kepada pasukan petugas khas PDRM yang menyiasat kes tersebut, dan perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Fadhlina berkata, KPM berdukacita atas kejadian yang menimpa Allahyarham Zara Qairina dan bertekad memastikan kebenaran serta keadilan ditegakkan.



