KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh mempertikai kritikan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang dilihat baru bersuara berkait isu kesilapan Jalur Gemilang.
Akmal menegaskan, beliau dan sayap muda Umno tidak pernah berubah pendirian terhadap pihak yang memperlekeh lambang negara Malaysia.
“Kepada AMK, jangan risau kami tetap tidak berubah pendirian kami terhadap mana- mana pihak yang cuba memperlekehkan lambang negara Malaysia.
“Awal-awal bila dapat berita tentang bendera dalam poster Pemuda Umno Terengganu tidak cukup jalur,saya dah buat kenyataan yang tidak akan berkompromi dan bukan hanya permohonan maaf,tetapi perlu dihukum dengan berat.
“Ya kenyataan kami ini tetap kekal sama tidak kira kepada mana-mana pihak sama ada apek di Penang,Pas di Terengganu, SJKC di Negeri Sembilan mahupun kawan kami Pemuda Umno Terengganu, kerana kami bukan hipokrit.
“Nak tanya AMK juga,baru nak menunggang isu bendera ni ke? Sebelum ni masih lena tidur ya? Tidak mengapa,rakyat faham,” tempelak Akmal.
Terdahulu AMK menyeru agar Pemuda Umno dan seluruh kepimpinannya tidak bersikap hipokrit dalam isu-isu melibatkan simbol negara.
Pengarah Komunikasi AMK Nurhanani Dhamirah Razaleh berkata, sayap muda PKR itu mempersoalkan prinsip dan konsistensi Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh sama ada kecaman yang dilaungkan sebelum ini hanya wajar apabila kesilapan dilakukan oleh pihak lain dan tidak terpakai oleh parti beliau sendiri.
Katanya lagi, sebagai sebuah sayap pemuda yang bersama- sama dalam membentuk Kerajaan Perpaduan yang harmoni dan stabil pada hari ini, kami menegaskan bahawasanya teras kestabilan negara yang dibina pada hari ini adalah atas dasar toleransi dan penyatuan hati untuk melihat Malaysia yang lebih baik.
“AMK mengecam tindakan Pemuda Umno Terengganu yang menggunakan Jalur Gemilang secara tidak betul dalam salah sebuah poster yang bertajuk “Desak Hukuman Pembuli yang mempunyai hanya 12 jalur berbanding 14 daripada yang sepatutnya.
“Sebagai sayap parti yang sering melaungkan semangat patriotik, adalah amat memalukan apabila mereka sendiri gagal menunjukkan teladan yang baik dalam menghormati simbol negara.
“Lebih mengecewakan, Akmal yang sebelum ini begitu lantang bersuara apabila Jalur Gemilang dipasang terbalik dalam sebuah kejadian yang berlaku di Pulau Pinang baru- baru ini masih mendiamkan diri apabila kesalahan yang sama dilakukan oleh partinya sendiri,” tegas Nurhanani dalam kenyataan pada Selasa.



