‘Suami beri restu’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Biarpun si comel baru menginjak usia dua tahun pada 31 Mei lalu, aktres jelita, Anzalna Nasir tidak kisah mendedahkan cinta hatinya kepada dunia pengiklanan atau komersial.

Anzalna atau nama penuh, Nur Anzalna Mohd Nasir memberitahu, kebanyakan tawaran mempromosikan produk yang diterima menggandingkan dirinya dan anak, Mohamad Eidrees.

Namun, jelas Anzalna, 33, bukan bermakna dia bersetuju dengan setiap tawaran yang datang. Sebaliknya, Anazalna menapis setiap tawaran dan apa yang lebih penting, mendapat restu dan persetujuan suami, Hanif Zaki.

“Sejak kebelakangan ini, saya banyak menerima tawaran yang mahukan Eidrees tampil bersama.

“Selain restu suami, saya perlu menggunakan dahulu produk diberi sebelum menandatangani kontrak,” katanya kepada BH Online.

Anzalna berkata, pandangan suami amat penting berikutan Hanif lebih mengetahui apa yang terbaik dengan kebanyakan tawaran membabitkan produk bayi dan kanak-kanak.

Berkongsi keletah anak di lokasi penggambaran, Anzalna berkata, biarpun kali pertama beraksi di hadapan kamera, dia kagum dengan kerjasama Eidrees.

“Sepanjang penggambaran Eidrees tidak merengek, sebaliknya sangat selesa.

“Saya mengambil kira keselesaan anak, terutama untuk penggambaran yang mengambil masa lama atau membabitkan lokasi di luar daerah.

“Setakat ini, kami sudah menjayakan penggambaran kira-kira tiga produk bersama. Alhamdulillah, semuanya lancar,” katanya.

Anzalna berkata, dia sangat menitikberatkan tahap profesionalisme syarikat produksi yang menjalankan kerja penggambaran.

“Bagi saya, apabila bekerja dengan golongan profesional, mereka membantu memudahkan lagi kerja kita. Mereka tahu bagaimana hendak mengendalikan talent terutama mood anak kecil,” katanya.

Selepas lebih dua tahun berehat daripada dunia lakonan, pelakon Memori Cinta Suraya ini mengaku belum bersedia kembali ke set penggambaran.

Buat masa ini, Anzalna selesa memilih penggambaran untuk iklan televisyen (TV) dan media sosial kerana tidak menuntut masa lama di lokasi.

Anzalna berkata, sejak dalam proses berpantang, banyak tawaran berlakon diterima, terutama daripada penerbit yang lazim bekerja dengannya.

Namun, wanita kelahiran Pulau Pinang ini terpaksa menolak pelawaan secara baik. Anzalna mahu memberikan perhatian untuk membesarkan anak tersayang.

 

Selepas lebih dua tahun berehat daripada dunia lakonan, Anzalna Nasir belum bersedia kembali ke lokasi penggambaran. - Foto IG Anzalna Nasir
Selepas lebih dua tahun berehat daripada dunia lakonan, Anzalna Nasir belum bersedia kembali ke lokasi penggambaran. – Foto IG Anzalna Nasir

 

Gara-gara lama tidak muncul di TV, ramai menyangka Anzalna yang menceburkan diri dalam dunia seni sejak hampir sedekad lalu, tidak lagi berminat untuk meneruskan karier lakonan. Hakikatnya, kepentingan Eidrees melebihi segala-galanya.

“Insya-Allah apabila tiba masa, saya kembali. Mungkin saya ingin menunggu Eidrees boleh bercakap baru menimbangkan hasrat kembali berlakon.

“Memang saya rindu berlakon kerana ia memberi kepuasan yang sukar diungkap dengan kata-kata. Namun, ia menuntut pengorbanan masa yang lama. Saya terpaksa mengorbankan minat untuk membesarkan anak,” katanya.

Anzalna juga mahu menikmati hidup bersama keluarga kecil sepuas-puasnya.

“Saya berterima kasih kepada syarikat produksi yang tidak jemu mencuba nasib sejak saya masih berpantang. Saya tersentuh dan segan terpaksa menolak pelawaan mereka.

“Alhamdulillah, mereka faham situasi saya yang terpaksa mengetepikan kepentingan diri demi anak,” katanya.

Anzalna yang menguruskan sendiri rumah tangga mengaku tidak mempercayai orang lain untuk menjaga anaknya. Dia mahu melihat Eidrees membesar di hadapan mata.

Jika terpaksa keluar bekerja, dia dan suami bergilir menjaga Eidrees atau meminta bantuan ahli keluarga.

“Saya bersyukur keluarga kami berdekatan. Jika saya dan suami terpaksa keluar bekerja, kami meminta ahli keluarga menjaga Eidrees.

“Belum masa ini, kami menyerahkan Eidrees kepada pengasuh atau pembantu rumah,” katanya.

Mencipta nama selepas menyertai pencarian bakat Dewi Remaja bagi edisi 2009/2010. Menyertai program pencarian remaja itu bersama Neelofa, Izara Aishah dan Syatilla Melvin.

Antara drama lakonan Arluna, Dendam Aurora dan Mami Mamu Gosip.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat