KUALA LUMPUR – Seluruh penyokong Pakatan Harapan (PH) dan rakyat Malaysia sedang menanti dengan penuh debaran terhadap hala tuju pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diputuskan.
Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat berkata, Konvensyen PH di Johor Ahad ini ini juga sewajarnya menjadi medan untuk memperjelaskan kedudukan dan strategi politik semasa mengambil kira latar belakang tiadanya pembentukan kerjasama rasmi Kerajaan Perpaduan di Negeri Johor, isu usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan serta keperluan memperkukuhkan kerjasama utuh dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.
“Saya berharap konvensyen ini menjadi titik penting dalam membina kesepakatan, memperkukuhkan kerjasama dan menetapkan arah perjuangan yang jelas demi masa depan negara dan negeri Johor.
“Saya mengalu-alukan kehadiran seluruh pimpinan, perwakilan dan peserta ke Konvensyen Pakatan Harapan yang berlangsung pada Ahad, 17 Mei 2026 di Persada Johor Bahru yang terletak di dalam kawasan Parlimen Pulai. Konvensyen ini amat penting dalam memberikan hala tuju yang jelas kepada PH menghadapi PRN dan PRU akan datang,” katanya.
Menurut beliau, Johor memerlukan satu direction politik yang lebih jelas khususnya melibatkan bentuk dan hala tuju kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Keadaan yang berlaku selama ini menunjukkan masih belum wujud kerangka kerjasama yang tersusun dan menyeluruh di negeri ini.
“Justeru, konvensyen ini diharapkan dapat memberikan keyakinan kepada rakyat serta menjelaskan pendekatan politik yang bakal diambil demi kestabilan dan masa depan Johor.
“Selain itu, saya berpandangan bahawa keperluan untuk mengadakan PRN dan PRU secara serentak perlu dipertimbangkan secara serius. Langkah ini bukan sahaja dapat mengelakkan pembaziran kos dan penggunaan sumber kerajaan, malah mampu meningkatkan peratusan keluar mengundi rakyat.
“Negeri-negeri di bawah pentadbiran PH dan Barisan Nasional (BN) wajar mempertimbangkan penyelarasan pilihan raya secara bersama demi kestabilan politik dan kecekapan pentadbiran.
“Pengundi di Negeri Johor sebahagiannya bekerja di Singapura menyebabkan kesukaran mereka untuk balik mengundi dua kali jika pilihan raya berasingan,” kata Suhaizan.



