Jangan hanya persoalkan insentif kepada pelabur, nilai apa yang Malaysia dapat balik daripada pelaburan – Tengku Zafrul jawab Rafizi

KUALA LUMPUR – Tidak wajar menyempitkan perbincangan dengan persoalan kerajaan bayar insentif supaya syarikat melabur di Malaysia.

Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang kini menjawat jawatan Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menjawab dakwaan Datuk Seri Rafizi Ramli kononnya MITI ‘membayar’ syarikat asing untuk datang melabur dan bertapak di negara ini.

Tengku Zafrul yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjelaskan, insentif yang diberikan oleh kerajaan tidak diberi secara kosong tetapi diikat kepada outcome yang setimpal.

“Itulah maksud right investment. Jadi, jangan sempitkannya perbincangan kepada insentif sama dengan bayar syarikat datang.

“Soalan sebenar ialah sama ada insentif itu memberi pulangan yang setimpal kepada Malaysia.

“Sebab itu, kita ada New Incentive Framework supaya insentif tidak diberi secara kosong tetapi diikat kepada outcome. Pekerjaan lebih baik, latihan bakat, teknologi tempatan, R&D dan nilai tambah sebenar kepada ekonomi negara.

“Kita bukan mahu semua pelaburan. Kita mahu pelaburan yang betul-betul memberikan impak yang besar kepada rakyat Malaysia,” jelas Tengku Zafrul dalam video yang dimuat naik di Facebooknya yang bertajuk “kita bayar Intel datang?” sebagai jawapan kepada dakwaan Rafizi.

Mengulas lanjut dakwaan itu, Tengku Zafrul memberitahu Amerika Syarikat (AS) pun bayar syarikat datang melalui Chips Act.

“Dalam industri strategik seperti semikonduktor, negara yang serius memang bersaing untuk menarik pelaburan bernilai tinggi.

“Amerika Syarikat sendiri ada Chips Act. USD39 bilion untuk manufacturing incentive, USD9 bilion untuk R&D ecosystem dan 25% investment tax credit untuk pelaburan semikonduktor manufacturing.

“Di ASEAN pun sama, Singapura, dia ada EDB incentive, Thailand ada BOI tax exemption dan Vietnam pun guna tax holidays dan investment support.

“Malaysia pun sama, kita beri pelbagai insentif untuk galakkan pelaburan bernilai tinggi datang ke negara kita. Jadi, persoalan sebenar bukan ada insentif atau tidak,” jelasnya.

Ujar Tengku Zafrul, persoalan sebenar ialah apa yang Malaysia dapat balik?

Sebab katanya, pelaburan yang betul bukan sekadar syarikat asing buka kilang. Kalau dibuat dengan betul, ia dibina satu ekosistem.

“Mula-mula, datang kilang, kilang perlukan pekerja teknikal. Lepas itu, perlukan jurutera.

“Lepas itu, vendor tempatan mula bekalkan perkhidmatan kepada MNC dan bila syarikat tempatan dah lama supply kepada MNC, standard mereka naik, mereka belajar ikut requirement global.

“Mereka bina kapasiti dan sebahagian mula eksport produk dan servis sendiri. Bakat yang dibangunkan oleh MNC ini juga mula naik sebagai engineer, manager, R&D lead.

“Dan akhirnya ada yang keluar, bina syarikat sendiri. Itulah spillover yang kita mahu.

“Intel ialah contoh yang kuat. Intel bukan baru datang semalam. Intel mula bertapak di Penang sejak 1972. Production facility pertama mereka di luar AS.

“Daripada tapak assembly 5 ekar di Penang, operasi Intel Malaysia kemudian berkembang. Bukan sekadar assembly, tetapi turut merangkumi test facility, development dan design center. Maksudnya, pelaburan Intel tidak berhenti pada buka kilang, ambil pekerja, habis di situ.

“Intel membantu membina lapisan kemahiran negara. Operator, technician, engineer, process engineer, design engineer, supply chain manager, vendor tempatan dan akhirnya, design talent. Bila rantaian ini terbina selama puluhan tahun, Malaysia bukan lagi sekadar tempat pasang komponen. Kita mula ada kupayaan teknikal yang lebih tinggi.

“Contoh yang sangat baik ialah SkyChip, syarikat Malaysia yang terlibat dalam IP dan IC design untuk artificial intelligence dan high performance manufacturing. Dalam masa mudah, mereka terlibat dalam kerja reka bentuk chip. Bahagian bernilai tinggi dalam semiconductor.

“Bukan sekadar pemasangan, ini bukan syarikat yang muncul dari kosong.

“CEO SkyChip SK Fong ialah rakyat Malaysia, bekerja lebih 20 tahun di Intel. Beliau antara pengasas Intel Design Center di Malaysia dan selepas itu, beliau menerajui R&D Altera Malaysia dan kemudiannya, memegang jawatan senior di Broadcom sebelum menubuhkan syarikatnya sendiri iaitu SkyChip. Ini cerita yang orang kena faham.

“Mula-mula, Malaysia dapat kilang. Lepas itu, kita dapat pekerja mahir. Lepas itu, kita dapat jurutera.

“Lepas itu, kita dapat design team. Lepas itu, talent tempatan bina syarikat Malaysia sendiri. Akhirnya, kita ada syarikat seperti SkyChip yang masuk ke IC Design, AI dan high performance computing,” jelas Tengku Zafrul.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat