KUALA LUMPUR – Malaysia berdepan ancaman serius jenayah seksual kanak-kanak dalam talian apabila 117 individu berkaitan aktiviti pedofilia dan eksploitasi seksual kanak-kanak ditahan dalam tempoh dua tahun.
Berdasarkan data operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), empat operasi utama sejak 2024 hingga 2026 turut menyaksikan rampasan 1,470,694 fail digital, termasuk sekurang-kurangnya 204,934 fail Child Sexual Abuse Material (CSAM) yang disahkan.
Dalam tempoh sama, sebanyak 162 lokasi diserbu, 272 peranti dirampas, 113 kertas siasatan dibuka dan 101 individu telah didakwa.
“Apabila lebih 200,000 kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak berjaya dikesan dan lebih 100 pedofil ditahan dalam tempoh dua tahun, ini bukan lagi isu kecil. Ini ancaman serius terhadap keselamatan anak-anak kita,” menurut naratif utama inisiatif tersebut.
Angka itu menunjukkan ancaman terhadap kanak-kanak kini bukan sahaja berlaku secara fizikal, tetapi semakin banyak berpindah ke ruang digital melalui pemangsaan dalam talian, manipulasi, grooming dan penyebaran kandungan tidak selamat.
Sehubungan itu, langkah pengesahan umur bagi pengguna bawah 16 tahun di platform media sosial dilihat semakin mendesak sebagai mekanisme perlindungan, bukan sekatan terhadap kanak-kanak.
Inisiatif tersebut bertujuan memastikan platform digital mengambil tanggungjawab lebih besar dalam mengehadkan akses kanak-kanak kepada kandungan berisiko tinggi serta mengurangkan interaksi tidak selamat dengan pemangsa digital.
Keselamatan kanak-kanak dalam talian kini perlu dilihat sebagai keutamaan nasional yang memerlukan kerjasama kerajaan, platform digital, ibu bapa dan masyarakat.



