KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong mendakwa kenyataan beliau telah disalah tafsir berkaitan penjimatan bekalan bahan api.
Chin Tong memperjelaskan bahawa beliau tidak mengumumkan Malaysia kemungkinan akan mengurangkan kuota bulanan bahan api RON95 bersubsidi di bawah program BUDI95 kepada 150 liter kerana kerajaan berusaha untuk menjimatkan bekalan bahan api.
“Pagi ini, dalam satu majlis anjuran AFFIN Bank, saya ditanya mengenai strategi kerajaan untuk menangani krisis tenaga. Namun, apabila dilaporkan, ia tidak tepat kerana diambil di luar konteks.
“Perlu dijelaskan di sini bahawa saya tidak membuat sebarang pengumuman baharu bagi pihak kerajaan, dan saya juga tidak pernah mengumumkan had 150 liter berpotensi menjadi dasar kerajaan.
“Apa yang saya jelaskan adalah – BUDI95 adalah mekanisme yang baik kerana ia memberikan data menyeluruh untuk memahami corak perjalanan harian rakyat Malaysia.
“Keutamaan kerajaan dan seluruh masyarakat adalah untuk memastikan kita mempunyai bekalan petrol yang mencukupi untuk tempoh yang paling lama.
“Masyarakat kita mesti memastikan bekalan petrol dapat bertahan untuk tempoh yang paling lama, dan kita perlu membina konsensus untuk menyokong usaha penjimatan penggunaan petrol,” jelas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam hantaran di Facebook beliau.
Chin Tong akui kesal kerana kenyataan beliau telah mencetuskan salah faham.
“Saya berharap semua pihak dapat memahami konteks penuh apa yang sebenarnya saya katakan,” katanya.
Sebelum itu media melaporkan Timbalan Menteri Kewangan itu berkata, data semasa menunjukkan bahawa kebanyakan rakyat Malaysia menggunakan di bawah ambang yang dicadangkan.
Kerajaan telah mula menurunkan had subsidi bahan api daripada 300 liter kepada 200 liter pada bulan Mac.
“Data menunjukkan secara konsisten bahawa 80% rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter.”
“Langkah seterusnya adalah 150 liter [kerana] 60% daripada populasi menggunakan kurang daripada 150 liter,” katanya memetik laporan The Edge pada Selasa.



