TAPAH, – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, melahirkan keyakinan bahawa Barisan Nasional (BN), dengan sokongan padu daripada rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, mampu memenangi semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.
Dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau pagi ini, Zahid memaklumkan bahawa beliau turut hadir mengiringi calon BN, Ustaz Dr. Mohamad Yusri Bakir, ke sesi penamaan calon di Dewan Merdeka, Tapah.
Ustaz Dr. Yusri yang merupakan Ketua Jabatan Pendidikan Islam & Moral di IPG Kampus Ipoh, memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pendidikan Islam dari UPSI, dan menurut Zahid, kredibiliti serta kelayakan akademik beliau menjadikannya calon berkaliber untuk meneruskan legasi Allahyarham Ishsam Shahruddin.
“Sudah pasti Ustaz Dr. Mohamad Yusri Bakir merupakan seorang calon yang tepat dan berkaliber untuk meneruskan legasi kecemerlangan yang telah ditinggalkan oleh Allahyarham Ishsam Shahruddin sebagai wakil rakyat di Ayer Kuning,” katanya.
Zahid turut menzahirkan keyakinan terhadap kekuatan jentera pilihan raya gabungan BN dan PH yang dianggap mampu menarik sokongan rakyat.
“Saya yakin, dengan perancangan rapi dan gandingan mantap jentera BN dibantu jentera PH, kita mampu untuk menawan hati rakyat, seterusnya kembali memenangi kerusi DUN Ayer Kuning,” ujar beliau.
Beliau turut memohon doa agar segala urusan kempen dan PRK berjalan lancar serta diberkati.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kekosongan kerusi selepas penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, meninggal dunia pada 3 Mac lalu.