14 Kematian Dalam Tahanan, Tubuh IPCMC Segera- Desak Syed Saddiq

KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendesak Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan segera memandangkan sudah 14 kematian dalam tahanan dicatatkan tahun ini sejak Januari hingga April.

Presiden MUDA itu menegaskan ini bukan satu gesaan saja-saja. Hal ini kata Syed Saddiq, memang sudah banyak disuarakan oleh NGO dan aktivis.

“Kita mahu wujudkan sebuah suruhanjaya yang boleh melakukan siasatan secara bebas dan adil kepada setiap laporan dan dakwaan salah laku.

“Beberapa hari lepas, kita menerima berita kematian dalam tahanan polis dilaporkan di Lokap Berpusat Indera Mahkota Kuantan, Pahang. Ini adalah kematian yang ke 14 dicatatkan dari Januari-April tahun ini.

“Saya pernah bersuara dalam isu kematian dalam tahanan ini. Sewaktu mendiang A. Ganapathy meninggal dalam tahanan, saya gesa supaya PDRM segera tubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).Sampai saya dipanggil untuk siasatan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam catatan di Facebook pada Selasa.

Malah, jelas Syed Saddiq cadangan untuk wujudkan IPCMC juga bukan bermaksud kita nak kata institusi PDRM buat salah.

Tetapi katanya, mewujudkan sebuah suruhanjaya seperti IPCMC inilah yang akan menaikkan keyakinan orang ramai kepada PDRM.

“Macam saya selalu sebut, berani kerana benar.

“Saya percaya reformasi institusi memang sukar untuk dibuat, kerana ia adalah hal yang asing buat masa ini.

“Tetapi komitmen dan kesungguhan untuk menjadi lebih baik itu perlu ada. Saya akan terus bersuara untuk mangsa kematian dalam tahanan dan terus berkempen untuk memastikan imej institusi PDRM pulih melalui penubuhan IPCMC,” ujar beliau.