KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diarah menjalankan siasatan berhubung video tular memaparkan penggunaan ayat suci al-Quran secara salah bagi mempromosikan budaya songsang dalam satu perarakan di ibu negara baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, siasatan tersebut turut melibatkan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sekiranya didapati berlaku penyalahgunaan ayat suci berkenaan.
Katanya, tindakan menggunakan ayat suci al-Quran bagi mempromosikan budaya songsang disifatkan sebagai perbuatan yang mencemar kesucian kitab suci itu serta mengguris perasaan umat Islam.
“Saya menegaskan sekeras-kerasnya bahawa perbuatan ini bukan sahaja mengguris maruah umat Islam apatah lagi di bulan Ramadan yang mulia ini, malah mencemar kemuliaan Al-Quran kerana ditafsir jauh dari konteks serta makna sebenar ayat tersebut.
“Saya menyeru semua pihak agar menghayati Al-Quran dengan tradisi keilmuan yang panjang dan tidak sewenang-wenangnya menterjemah mengikut nafsu sehingga menyesatkan dari maksud sebenar apatah lagi untuk menjadikan dalil budaya yang bertentangan dengan nilai Islam,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.



