KUALA LUMPUR – Penyampai radio 3 Pagi Era, Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin masih lagi direhatkan sehingga siasatan dalaman selesai.
Ketua Strategi Astro Radio Rizal Sahimy berkata, pengumuman mengenai status tiga penyampai itu akan dibuat selepas siasatan selesai.
“Siasatan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sudah pun selesai, lesen tidak digantung, saman pun sudah ada.
“Bagaimanapun, kami masih lagi melakukan siasatan dalaman secara terperinci dari segala sudut bagi memastikan kesilapan sama tidak berulang
“Buat masa ini, mereka masih lagi direhatkan bagi meredakan tekanan memandangkan isu masih panas,” katanya yang ditemui di IFtar @ Masjid Zayan FM dan Era FM di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, lapor BH di Cyberjaya.
Menurut Rizal lagi, Astro Audio juga kini sedang menyusun atur strategi untuk memulihkan kembali imej stesen radio yang tercalar.
Katanya, setakat ini, tiada prosedur operasi standard (SOP) baharu diperkenalkan, tapi pemantauan lebih ketat akan dilaksanakan bagi mengelak daripada berlakunya kecuaian.
“SOP sudah ada, kita hanya ikut yang sedia ada. Penyampai pun sudah menyesali perbuatan dan mohon maaf secara terbuka, jadi kami tahu mereka tertekan.
“Bagi menjaga kesihatan mental dan tak mahu kerja terganggu, biarlah mereka berehat dahulu,” katanya.
Rizal berkata, video tular yang mencetuskan kekecohan sudah pun dipadam bagi menjaga sensitiviti.
Semalam, Maestra Broadcast Network System Sdn Bhd dikenakan kompaun RM 250,000 , bagaimanapun lesen mereka tidak digantung.
Pada 4 Mac lepas, MCMC diarahkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung video tular tiga penyampai radio Era FM yang dilihat sedang mempersendakan upacara agama lain.