Rayuan Azmin Batal Saman Pengundi Parlimen Gombak Ditetapkan 13 April

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk membatalkan saman yang dikemukakan 10 pengundi berdaftar kawasan Parlimen Gombak terhadapnya atas dakwaan menipu dan melanggar kewajiban fidusiari sebagai Ahli Parlimen kawasan itu, pada 13 April.

Peguam N.Yohendra yang mewakili pengundi itu semasa dihubungi berkata tarikh pendengaran rayuan tersebut ditetapkan semasa pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nur Adilah Halid pada Isnin.

Pihak-pihak yang terlibat dalam rayuan itu dikehendaki mengemukakan hujahan bertulis mereka pada 29 Mac.

Pada 10 Jun tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Azmin untuk membatalkan saman yang difailkan 10 pengundi itu terhadapnya.

Pada hari yang sama, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir juga menolak menolak permohonan pengundi berkenaan untuk memadamkan sebahagian pernyataan pembelaan Mohamed Azmin.

Pada 27 Nov 2020, 10 pengundi itu memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari 2020.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, pengundi tersebut antara lain memohon pengisytiharan bahawa Mohamed Azmin selaku Ahli Parlimen Gombak, telah melanggar kewajiban fidusiarinya, menipu serta memungkiri representasi yang dibuat kepada mereka dalam pilihan raya umum bagi kawasan berkenaan.

Mereka menuntut ganti rugi keterlaluan dan teladan, kos dan perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada 12 Mac tahun lepas, Mohamed Azmin memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu atas alasan saman tersebut tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah sebaliknya mengaibkan, bersifat remeh, menyusahkan atau membawa kepada suatu penyalahgunaan proses mahkamah. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,612FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat