Pengumuman Malaysia Digital Di Ekspo Dubai 2020 Bertepatan dan Relevan – Annuar

- Advertisement -

DUBAI – Pengumuman Malaysia Digital di program Expo 2020 Dubai diadakan bertepatan pada masanya dan relevan kerana program dan insentif yang dipertingkatkan itu, penting bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia pascapandemik COVID-19, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, selaras dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), Malaysia Digital yang diperbaharui dan dipertingkatkan akan menjadi asas kepada pencapaian matlamat yang telah ditetapkan di bawah Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), yang menetapkan sasaran pelaburan RM70 bilion menjelang 2025.

“Susulan pengumuman (Digital Malaysia) tadi, ada beberapa langkah lagi yang perlu kita ambil, iaitu untuk perincikan transformasi yang kita lakukan daripada MSC kepada Malaysia Digital.

“Kementerian akan menyiapkan kertas kepada Jemaah Menteri mungkin dalam masa terdekat dan kita menjangka pelancaran akan dilakukan pada penggal kedua tahun ini,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Minggu Ekonomi Digital Malaysia di Ekspo 2020 Dubai, di Pavilion Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak menetapkan sebarang jangka masa khusus bagi pelaksanaan Malaysia Digital dan penekanan akan diberikan kepada pelaksanaan polisi bagi membangunkan ekonomi digital negara.

Inisiatif Malaysia Digital baharu akan menawarkan ketangkasan yang lebih baik kepada syarikat teknologi tempatan dan antarabangsa dengan menyediakan lebih banyak pilihan dan fleksibiliti kepada syarikat untuk memilih daripada insentif fiskal dan/atau bukan fiskal yang kompetitif.

Ia juga untuk memperluas, melangkaui lokasi yang ditetapkan dalam inisiatif untuk seluruh negara, memberikan lebih fleksibiliti dan peluang kepada syarikat untuk berkembang, memperluas atau melabur semula di mana-mana sahaja di Malaysia

Program yang akan mengantikan MSC Malaysia akan turut mengetengahkan tadbir urus dan proses yang dipertingkatkan untuk memenuhi keperluan pelbagai industri dengan kadar segera.

Rangka kerja baharu Malaysia Digital ini akan memperlihatkan antara penambahbaikan lain, pembaharuan dalam Bill Jaminan, insentif bukan berdasarkan lokasi dan pengembangan kepada lokasi untuk aktiviti dilaksanakan MSC.

Di bawah inisiatif Digital Malaysia, Kerajaan dan MDEC juga akan memperkenalkan dua projek pemangkin awal, iaitu DE Rantau dan Perdagangan Malaysia Digital.

Minggu Ekonomi Digital tersebut merupakan antara 26 program perdagangan dan perniagaan mingguan dengan tema tertentu yang dianjurkan oleh Pavilion Malaysia bagi acara Ekspo 2020 Dubai.

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyasarkan untuk menarik pelaburan lebih daripada RM300 juta serta 50 bakal perniagaan yang layak semasa Minggu Ekonomi Digital Malaysia yang berlangsung dari 9 hingga 15 Jan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat