KP SPRM Fail Saman Fitnah Terhadap Bekas Penyelidik NGO C4

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Lalitha Kunaratnam, berdepan tuntutan saman fitnah berikutan penerbitan sebuah artikel di sebuah portal agensi berita, masing-masing pada 26 Oktober dan 15 Disember tahun lalu.

Peguam cara, Megat Abdul Munir, berkata tuntutan saman fitnah yang difailkan hari ini, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu dibuat mewakili anak guamnya, iaitu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Megat berkata, keputusan mengemukakan saman fitnah dibuat selepas bekas penyelidik C4 terbabit gagal memberi sebarang maklum balas terhadap surat tuntutan (LOD) bertarikh 6 Januari lalu.

“Defendan (Lalitha) menerusi peguam sebaliknya mengeluarkan kenyataan di Twitter, dengan menyatakan bahawa beliau kekal terhadap dakwaan seperti dalam penerbitan artikel yang anak guam kami berulang kali tegaskan ia adalah suatu tuduhan fitnah.

“Justeru, anak guam kami (Azam) tidak mempunyai pilihan lain tetapi dengan memfailkan saman ini sebelum tempoh 14 hari dari tarikh LOD untuk menjaga nama baik, reputasi dan kedudukan profesionalnya.

“Justeru, anak guam kami hanya menggunakan haknya seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan perundangan berkaitan, untuk mencari penyelesaian bersesuaian di mahkamah Malaysia.

“Anak guam kami percaya bahawa saluran ini juga memberi hak dan peluang yang sama kepada defendan untuk mengesahkan dakwaannya, berbanding sekadar terbabit dengan perbicaraan oleh media,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Azam sebelum ini memaklumkan bahawa pihaknya akan mengemukakan saman terhadap mereka yang mencemarkan reputasinya dan SPRM, selain bagi memastikan dakwaan tidak berasas sedemikian tidak berulang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM itu sebelum ini didakwa memiliki lebih RM4 juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai, ketika menjadi Pengarah Siasatan SPRM antara 2015 dan 2016.

Tuduhan itu akhirnya terjawab, 5 Januari lalu, apabila Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang, memaklumkan bahawa pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam, iaitu Nasir Baki.

Mengulas lanjut, Megat berkata, anak guamnya tidak akan membuat sebarang kenyataan berhubung perkara terbabit dan menaruh kepercayaan terhadap sistem kehakiman di Malaysia bagi mengendalikan perbicaraan secara seadilnya.

“Anak guam kami sekali lagi menegaskan bahawa SPRM komited untuk melindungi pemberi maklumat yang tertakluk kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010,” katanya. – BH

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat