KLANG – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini menerima Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’. Penganugerahan tersebut berlangsung sempena Sambutan Hari Keputeraan ke-80 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah.
Memetik laporan BERNAMA, Fahmi merupakan antara 98 individu yang diberikan Darjah dan Bintang Kebesaran dalam istiadat penuh adat di Balairung Seri.
Selain beliau, Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail turut dikurniakan darjah yang sama. Secara keseluruhan, seramai 16 penerima menerima Darjah Kebesaran D.P.M.S. yang membawa gelaran Dato’ bagi lelaki dan Datin Paduka bagi wanita.
Sultan Sharafuddin berkenan berangkat menyempurnakan penganugerahan tersebut, diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan isteri baginda, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz.
Memetik BERNAMA, anakanda baginda, Tengku Zerafina, mengetuai senarai penerima Darjah dan Bintang Kebesaran yang dikurniakan sempena ulang tahun keputeraan Sultan Selangor tahun ini.



