KUALA LUMPUR,– Satu kenyataan media bersama Ketua-Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Perak hari ini menafikan dakwaan bahawa 14 ketua bahagian negeri itu terlibat dalam satu sidang media yang mendesak perubahan kepimpinan parti seperti yang disebut oleh Ketua Bersatu Bahagian Pasir Salak, Dato’ Zainol Fadzi Paharudin.
Menurut kenyataan tersebut, setelah semakan dibuat, hanya sembilan ketua bahagian hadir dalam sidang media berkenaan, manakala individu lain yang turut bersama bukanlah ketua bahagian parti. Oleh itu, tindakan mereka dianggap hadir atas kapasiti peribadi dan tidak boleh dianggap sebagai pendirian rasmi kepimpinan Bersatu Negeri Perak.
Ketua-ketua bahagian itu turut menegaskan bahawa sidang media tersebut tidak mewakili suara majoriti 24 Ketua Bahagian Bersatu Perak dan secara tegas menolak dakwaan bahawa wujud konsensus untuk memberi tekanan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam kenyataan itu, mereka turut menegur tindakan Zainol Fadzi — yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu — kerana membawa isu parti ke ruang awam tanpa melalui Mesyuarat Pimpinan Tertinggi. Langkah tersebut disifatkan “tidak wajar”, mencetuskan kekeliruan dalam kalangan ahli akar umbi dan bercanggah dengan disiplin parti.
Kenyataan itu juga menyebut bahawa tindakan berkenaan telah menjejaskan imej parti serta memberi persepsi tidak tepat terhadap kestabilan kepimpinan Bersatu di Perak, sekali gus menguntungkan pihak lawan dan melemahkan keyakinan rakyat.
Sehubungan itu, kesemua 14 Ketua Bahagian yang menandatangani kenyataan ini menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu serta komited mempertahankan kestabilan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.
Antara ketua bahagian yang menyokong kenyataan ini termasuk Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu (Tambun), Mohader Ahmad (Batu Gajah), Iskandar Abdul Rahman (Ipoh Barat), Dato’ Haji Azhar Anuar (Bagan Datuk), Haji Muhammad Yadzan Muhammad (Tanjong Malim), dan beberapa ketua bahagian lain.
Kenyataan bersama itu secara jelas meredakan spekulasi mengenai wujudnya pemberontakan besar dalam Bersatu Perak, sekali gus menegaskan kembali komitmen majoriti ketua bahagian terhadap kepimpinan parti.-SuaraTV



