KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018 Datuk Zuraida Kamaruddin mengesahkan keputusan Malaysia menarik balik permohonan semakan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Pulau Batu Puteh dibentang dalam mesyuarat Kabinet ketika itu seperti diberitahu Tun Dr Mahathir Mohamad.
Zuraida berkata, sewaktu bekas Perdana Menteri Dr Mahathir membentangkan perkara itu, tiada menteri mengemukakan sebarang bantahan dalam mesyuarat berkenaan.
“Saya hanya tahu beliau membentangkannya dan menerangkan situasi terbabit.
“Tiada siapa membantah, tiada siapa berdebat, jadi kami mengambilnya sebagai dipersetujui.
“Kami tidak berkata apa-apa kerana pada masa itu kami baru menyertai Kabinet dan masih dalam proses menyesuaikan diri,” lapor New Straits Times pada Rabu.
Zuraida bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada perkara itu dibentang dalam mesyuarat Kabinet sebelum atau selepas Suruhanjaya Tinggi Singapura dimaklumkan mengenai hasrat Dr Mahathir menarik balik semakan penghakiman itu pada jam 9 pagi.
Perkara itu dinyatakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diterbitkan Khamis lalu.
Semalam, Dr Mahathir sekali lagi menafikan langkah menarik balik permohonan Malaysia untuk semakan keputusan ICJ mengenai Pulau Batu Puteh adalah keputusan sepihak.