Haji Ahmad Shah Rizal tegaskan ketelusan urus pusaka, tolak dakwaan salah guna RM1.3 Juta

Cyberjaya — Setelah beberapa minggu isu wang tunai RM1.3 juta menjadi perbualan hangat di media sosial, Haji Ahmad Shah Rizal bin Ibrahim akhirnya tampil memberi penjelasan terperinci bagi menepis dakwaan bahawa beliau menyembunyikan atau menyalahgunakan wang berkenaan, yang dikaitkan dengan pusaka arwah isterinya, usahawan kosmetik terkenal Allahyarhamah Faziani Rohban Ahmad.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, Ahmad Shah menegaskan bahawa tuduhan tersebut “tidak benar dan mengelirukan”, sambil menjelaskan bahawa wang itu merupakan hasil usaha bersama beliau dan arwah isterinya semasa hayat mereka  bukan wang warisan yang disorokkan seperti didakwa.

Menurut beliau, wang tersebut telah diambil daripada peti simpanan di bilik mereka selepas pemergian arwah, disaksikan oleh wakil ahli keluarga. Ia kemudian dimasukkan ke dalam akaun peribadinya “bagi tujuan keselamatan sementara”  dengan pengetahuan dan persetujuan semua ahli keluarga.

“Tiada bantahan dibuat oleh mana-mana ahli keluarga ketika itu. Semua bersetuju wang tersebut berada dalam pegangan saya sehingga selesai proses pembahagian pusaka,” jelasnya.

Ahmad Shah juga menambah bahawa beliau memegang status rasmi sebagai pentadbir pusaka bersama seorang lagi waris, Mohamed Aqbar Hakim bin Jasman, melalui perintah mahkamah sejak 2021.

Mengulas lanjut mengenai arahan mahkamah, Ahmad Shah menjelaskan bahawa beliau hanya menerima salinan perintah rasmi bermeterai pada 22 September 2025, lebih sebulan selepas prosiding terakhir di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu.

Ketika mahkamah membuat keputusan pada 13. Ogos. 2025 supaya wang pusaka RM 1.3 juta dikembalikan ke akaun pentadbir harta pusaka, Ahmad Shah Rizal berada dalam mahkamah bersama peguamnya.

“Sebaik menerima perintah rasmi tersebut, saya telah memindahkan wang RM1.3 juta ke dalam akaun rasmi pentadbir pusaka dalam tempoh empat hari bekerja,” katanya, menegaskan bahawa sepanjang tempoh itu, wang tersebut kekal selamat dalam simpanannya.

Ahmad Shah menolak keras dakwaan bahawa beliau “makan harta anak yatim” seperti yang digembar-gemburkan di media sosial, menyifatkannya sebagai fitnah yang mencemar maruah dan menjejaskan reputasinya.

“Saya tidak ambil hak anak yatim. Tuduhan sedemikian adalah tidak berasas dan boleh memesongkan fakta sebenar,” ujarnya lagi.

Beliau menyeru semua pihak, terutama pengguna media sosial, supaya lebih berhati-hati dalam menyebarkan maklumat berhubung kes yang masih dalam proses mahkamah.

Ahmad Shah turut mengumumkan bahawa beliau telah mengarahkan peguamnya untuk memulakan tindakan undang-undang kali kedua terhadap pihak yang didakwa menabur fitnah terhadap dirinya.

Sebelum ini, beliau pernah memfailkan saman fitnah pada tahun 2022 terhadap beberapa individu dan media. Kes tersebut telah selesai dibicarakan dan kini menunggu keputusan yang dijadualkan pada Januari 2026.

“Langkah ini perlu untuk menghentikan pihak tertentu daripada terus memanipulasi isu ini bagi tujuan populariti media sosial dan promosi perniagaan,” katanya, menyifatkan perbuatan sedemikian sebagai “tidak beretika dan menjejaskan proses keadilan”.

Kes ini bukan sahaja menarik perhatian kerana melibatkan jumlah besar dan tokoh ternama, tetapi juga membuka perbincangan tentang pengurusan harta pusaka Islam di Malaysia terutama apabila emosi dan persepsi awam mudah dipengaruhi oleh naratif di media sosial.

Pakar undang-undang syariah berpandangan bahawa isu seperti ini menunjukkan perlunya masyarakat memahami peranan pentadbir pusaka, yang bertanggungjawab memastikan proses pembahagian dijalankan mengikut hukum dan perintah mahkamah, bukan mengikut andaian awam.Ahmad Shah menegaskan bahawa beliau kekal komited menjalankan tanggungjawabnya sebagai pentadbir pusaka sehingga mahkamah membuat keputusan muktamad.

“Saya percaya kebenaran akan terbukti akhirnya. Saya serahkan kepada Allah SWT dan kepada mahkamah untuk menegakkan keadilan,” katanya menutup kenyataan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat