PRU-15 perlu dilakukan segera, elak musim tengkujuh

- Advertisement -

CYBERJAYA: Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berpendapat, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu diadakan segera ekoran faktor cuaca serta untuk mengelakkan musim tengkujuh.

Katanya, tempoh proses pilihan raya boleh dilakukan antara 12 hingga 14 hari seperti pilihan raya sebelum ini.

Selain itu, beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu mengadakan mesyuarat khas PRU-15 dengan segera selepas menerima notis pemakluman pembubaran Parlimen daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Jelasnya lagi, mesyuarat khas itu boleh diadakan dalam masa dua atau tiga hari selepas menerima notis tersebut dan tidak boleh ditangguhkan setelah mengambil kira faktor peralihan monsun bagi mengelakkan musim tengkujuh yang dijangka pada hujung November ini.

Mesyuarat khas itu bertujuan menentukan tarikh-tarikh penting pilihan raya umum seperti writ dan notis pilihan raya, penamaan calon dan hari pengundian sebenar termasuk tempoh berkempen, katanya lapor Utusan Malaysia.

“Seperti ditetapkan undang-undang pilihan raya, tempoh berkempen mestilah sekurang-kurangnya 11 hari. Ini bermaksud tempoh proses pilihan raya boleh dilakukan antara 12 hingga 14 hari seperti PRU sebelum ini.

“Namun saya melihat tarikh PRU perlu disegerakan setelah mengambil faktor cuaca dan mengelak musim tengkujuh, oleh demikian saya berpandangan pengundian PRU15 hendak dilaksanakan sebelum hujung bulan depan, mungkin antara 12-14 hari selepas hari penamaan,” katanya.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun mengesahkan pihaknya telah menerima Proklamasi Pengisytiharan Pembubaran Parlimen Ke-14 berkuatkuasa semalam yang ditandatangani Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Semalam, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pengumuman khas mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa semalam selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada PRU-15.

Dalam pada itu, Pakar Perlembagaan, Prof. Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, pembubaran Parlimen bermakna kerajaan sedia ada akan bertindak sebagai kerajaan interim atau sementara sehingga pembentukan kerajaan baharu selepas keputusan PRU-15.

Katanya, kerajaan sementara itu hanya bersifat pentadbiran dan tidak boleh langsung menggubal serta meluluskan dasar, polisi dan peruntukan kewangan.

Malah katanya, mana-mana menteri atau timbalan menteri tidak boleh menggunakan kementerian atau agensi kerajaan untuk berkempen bagi pihaknya atau mana-mana politik disertainya kerana ia merupakan salah guna kuasa di bawah undang-undang pilihan raya.

Menyentuh status Bajet 2023, Wan Ahmad Fauzi berkata, belanjawan itu hendaklah dibentangkan semula selepas pembentukan kerajaan baharu sama ada menggunakan rangka sedia ada atau menggubal belanjawan yang baharu.

Beliau menjelaskan, Dewan Rakyat hendaklah bersidang dalam tempoh 120 hari bermula tarikh pembubaran Parlimen seperti mana ditetapkan dalam undang-undang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat