Banyak perkara kerajaan sementara tak boleh buat, kata Fahmi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan sementara tidak boleh memutuskan banyak perkara dan bukan sekadar perkara dasar, kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Katanya, susulan pembubaran Parlimen semalam, kabinet sementara tidak boleh menandatangani sebarang kontrak projek, terutama projek berskala besar atau berkepentingan awam.

Selain itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menambah, menteri dan timbalan menteri juga mesti memulangkan aset kerajaan serta tidak boleh menggunakan jentera kerajaan untuk kempen pilihan raya atau mengumumkan sebarang “hadiah pilihan raya”.

“Prinsip-prinsip ini sewajarnya menjadi rukun kerajaan sementara, terutama untuk elak salah guna kuasa, rasuah, dan persepsi salah,” kata Fahmi dalam hantaran di Facebook hari ini.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, kabinet yang diketuai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh terus berfungsi sebagai kerajaan sementara dan mesyuarat kabinet boleh terus dijalankan seperti lazim walaupun Parlimen dibubarkan.

Bagaimanapun, dia berkata kabinet tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar walaupun masih boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam soal pentadbiran negara.

Pada petang semalam, Ismail telah mengumumkan pembubaran Parlimen dan susulan itu, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pengumuman dibuat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat