Pas samakan ucapan dasar Zahid di PAU 2026 ibarat pengisytiharan perang politik paling berani

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan ucapan dasar Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 seolah-olah mendengar pengisytiharan perang politik yang cukup berani oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan, kepada siapa perang itu diisytiharkan? Itu yang menarik untuk diperhatikan selepas ini walaupun semua sudah dapat menekanya.

“Saya mendengar ucapan ini seperti ucapan pengisytiharan perang politik yang cukup berani oleh Presiden Umno. Kebetulan tarikhnya pula cukup simbolik, genap 25 tahun selepas World Trade Center di Amerika Syarikat diserang pada 11 September 2001.

“Bezanya, 25 tahun lalu WTC di New York menjadi medan serangan fizikal. Hari ini WTC Kuala Lumpur menjadi pentas kepada satu serangan politik.

“Kepada siapa perang itu diisytiharkan? Itu yang menarik untuk diperhatikan selepas ini walaupun semua sudah dapat menekanya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Fadhli akui hadir kali pertama di Perhimpunan Agung Umno pagi ini merupakan satu kesempatan penting untuk menyaksikan sendiri majlis yang saya sifatkan penuh bersejarah.

“Saya catat beberapa kesimpulan penting daripada ucapan Presiden Umno Zahid Hamidi hari ini yang bertajuk Melakar Masa Depan Bangsa- Zahid menggagaskan konsep ‘Tafahum Siyasi’, iaitu persefahaman politik sebagai pendekatan dalam menentukan hala tuju politik Umno.

“Menegaskan bahawa penyatuan hendaklah berlaku antara Umno dan Pas, tanpa melibatkan pihak ketiga. Ini satu mesej politik yang sangat jelas tentang bentuk penyatuan yang sedang dibayangkan.

“Jelas dan terang menyindir Kerajaan PH apabila menyebut bahawa kita bukan kerajaan yang berjanji, ‘hari ini menang, esok semua masalah selesai’.

“Mengemukakan idea ‘Kolaborasi Agung’, dengan mengajak mereka yang pernah meninggalkan Umno supaya kembali semula dan bersama membina kekuatan parti.

“Menegaskan bahawa Umno dan Barisan Nasional hendaklah kembali menjadi induk kepada penyatuan bangsa.

“Menyentuh soal pengkhianatan terhadap perjanjian politik. Katanya, yang dijanjikan ialah pembentukan ‘Kerajaan Perpaduan Nasional’, tetapi akhirnya yang diwujudkan ialah ‘Kerajaan Madani’. Melontarkan gagasan yang lebih jauh melalui ‘Agenda Malaysia BIRU’ menuju 100 tahun kemerdekaan negara pada tahun 2057. BIRU membawa maksud B = Berdaulat, I = Inovatif, R = Rakyat Makmur dan U = Unggul. Gagasan ini kelihatan seperti mukadimah kepada satu kerangka pembangunan negara jangka panjang yang merangkumi beberapa siri Rancangan Malaysia sehingga tahun 2057,” katanya.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu menyebut, Agenda Malaysia BIRU itu kemudiannya dicerakinkan secara lebih terperinci melalui beberapa ikhtiar yang digariskan. Ertinya, ia bukan sekadar slogan, tetapi cuba ditampilkan sebagai satu kerangka politik dan pentadbiran jangka panjang menuju 2057.

“Paling menarik, tanpa segan silu Zahid menyebut, ‘Cukuplah guru, berhentilah…’. Tidak perlu terlalu berselindung untuk membaca kepada siapa sindiran itu ditujukan.

“Terima kasih atas jemputan dan sambutan mesra untuk kami dari Pas pagi ini,” ucapnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat