Najib gagal singkir hakim dengar semakan kehakiman Titah Addendum, tiada isu berat sebelah

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak supaya beliau menarik diri daripada mendengar semakan kehakiman bekas perdana menteri itu bagi memaksa kerajaan menjawab dan mengesahkan Titah Addendum.

Titah Addendum itu dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumahnya bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Yee Ching membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, dan memutuskan tidak timbul sebarang isu berat sebelah.

Permohonan Najib berdasarkan kepada keputusan hakim terbabit pada 4 September lalu, ketika menolak permohonan beliau bagi kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Menurut Shafee, dalam keputusan itu, hakim terbabit membangkitkan isu kewajipan untuk berlaku telus dan mendedahkan semua fakta material (duty of candour) dengan memutuskan bahawa ia tidak terpakai (pada peringkat itu).

Katanya, sedangkan pada pandangan pihak pembelaan, duty of candour di peringkat permohonan kebenaran adalah asas penting dalam semakan kehakiman anak guamnya, sehubungan itu berpandangan adalah wajar bagi Yee Ching menimbangkan untuk menarik diri.

Hakim itu bagaimanapun berkata, beliau sudah meneliti permohonan itu di mana mahkamah memutuskan tiada sebarang kewajipan berlaku telus dan memberi pendedahan penuh ketika permohonan kebenaran prosiding menghina mahkamah.

“Pada peringkat itu, saya berpendapat kewajipan ini tidak terpakai. Oleh itu, isu mengenai penemuan saya sebelum ini yang mungkin menyebabkan saya (dikatakan) berat sebelah tidak seharusnya timbul. Maka, saya menolak permohonan untuk menarik diri,” menurut laporan BH pada Khamis.

Terdahulu, Shafee memaklumkan kepada mahkamah, beliau menerima arahan daripada anak guamnya supaya hakim menarik diri daripada mendengar semakan kehakiman berkenaan.

Katanya, walaupun tidak memperoleh penghakiman muktamad berhubung permohonan kebenaran itu, pihaknya sudah menerima rakaman penuh prosiding terbabit.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili responden membantah permohonan terbabit dengan menyatakan bahawa ia sepatutnya dibuat melalui permohonan rasmi.

Sementara itu, mahkamah menetapkan 19 September ini bagi keputusan terhadap permohonan Najib untuk meminda pernyataan dengan memasukkan bukti tambahan dalam permohonan semakan kehakimannya.

Bukti itu ialah surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anak bekas Ahli Parlimen Pekan itu, Datuk Mohamad Nizar, bertarikh 4 Januari lalu yang mengesahkan kewujudan Titah Addendum berkenaan.

Ia ditandatangani oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman dan dialamatkan kepada Mohamad Nizar yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang.

Pada 13 Ogos lalu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, sebulat suara menolak rayuan Peguam Negara dan memerintahkan semakan kehakiman Najib dikembalikan dan meritnya didengar serta diputuskan Mahkamah Tinggi di hadapan hakim baharu.

Peguam Negara selaku perayu juga gagal mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya.

Turut bersidang dalam panel mahkamah tertinggi negara itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

Dalam semakan kehakimannya, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Najib juga memohon perintah mandamus untuk memaksa responden memberi jawapan dan mengesahkan kewujudan Titah Addendum berkenaan.

Najib juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat