KUALA LUMPUR – Pas menzahirkan simpati dan solidariti penuh kepada penduduk Kampung Sungai Baru yang terpaksa berdepan kesusahan mendadak akibat pengosongan ini.
Dalam pada itu, simpati turut dirakamkan kepada seorang anggota polis yang dilaporkan cedera ringan dalam kekecohan tersebut.
Ketua Penerangan Pas Fadhli Shaari mengecam tindakan pemaju yang melaksanakan pengosongan terhadap 179 penduduk Kampung Sungai Baru pada 11 September 2025 berasaskan perintah mahkamah melalui Order 89.
“Pas memahami bahawa pada 20 Ogos 2025, pihak pemaju telah memperoleh perintah ex parte daripada mahkamah yang memberi kebenaran untuk memasuki kawasan, termasuk membuka mangga pintu, tingkap, dinding dan bumbung rumah bagi tujuan pengambilalihan. PAS menghormati keputusan tersebut.
“Namun, tindakan pemaju yang meneruskan pengosongan secara tergesa-gesa, sedangkan rayuan penduduk dijadualkan untuk dibicarakan di Mahkamah Rayuan pada 3 Oktober 2025, amat tidak berperikemanusiaan.
“Sepatutnya, pemaju menunjukkan budi bicara dengan menunggu proses rayuan selesai. Menghalau penduduk seolah-olah mereka penceroboh di tanah sendiri adalah suatu tindakan yang zalim,” bidas Ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Kata Fadhli lagi, lebih membimbangkan, perintah Order 89 secara jelas tidak membenarkan sebarang perobohan atau penggunaan jentera berat.
Namun ujarnya, penguatkuasaan pada hari ini melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), serta tindakan agresif pihak pemaju, sekali gus menafikan hak penduduk untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya.
“Pas menzahirkan simpati dan solidariti penuh kepada penduduk Kampung Sungai Baru yang terpaksa berdepan kesusahan mendadak akibat pengosongan ini.
” Simpati turut dirakamkan kepada seorang anggota polis yang dilaporkan cedera ringan dalam kekecohan tersebut. Pada masa sama, Pas akan terus memantau rapat perkembangan isu ini dan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada penduduk yang terjejas.
“Pas juga mengingatkan rakyat Malaysia bahawa apa yang berlaku di Kampung Sungai Baru ini adalah gambaran awal atau ‘teaser’ sekiranya Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) dilaksanakan kelak.
“Tanpa budi bicara, pemaju diberi kuasa penuh, dan rakyat berisiko dihalau dari kediaman mereka sendiri.
“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama bangkit membela penduduk Kampung Sungai Baru dan terus membantah RUU URA yang akan dibawa semula ke Parlimen pada bulan Oktober 2025,” kata Fadhli.



