KUALA LUMPUR – Bersatu kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan empat pertuduhan salah guna kuasa Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, meskipun keputusan mahkamah tidak memihak namun mereka akan berbincang dan menyerahkan kepada kebijaksanaan barisan peguam untuk langkah perundangan seterusnya.
“Keputusan Mahkamah Rayuan pagi ini mengecewakan, tetapi kita akan berbincang dan menyerahkan kepada kebijaksanaan barisan peguam untuk langkah perundangan seterusnya.
“Perjuangan kita tidak akan sesekali terhenti dengan pendakwaan politik ini, sebaliknya ia memperkukuhkan lagi solidariti dan tekad kita bagi menentang segala kezaliman ini,” kata Hamzah pada Rabu.
Tegas beliau, Bersatu berdiri teguh bersama Tan Sri MuhyiddinYassin dan sesungguhnya yakin Allah SWT akan membantu mereka yang dizalimi.
Terdahulu, media melaporkan empat pertuduhan salah guna kuasa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa kekal.
Mahkamah Rayuan Putrajaya, pagi ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk semakan keputusan awal untuk mengembalikan semula pertuduhan jenayah.
Kes salah guna kuasa Presiden Bersatu itu membabitkan RM232.5 juta itu dikaitkan dengan program pemerkasaan kontraktor Bumiputera.
Pada 15 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan empat pertuduhan kerana didakwa cacat dan tidak mendedahkan butiran untuk Muhyiddin mengemukakan pembelaan sewajarnya.
Mahkamah Rayuan pada Februari tahun ini telah mengubah keputusan ini. Muhyiddin kemudian meminta semakan keputusan ini.
Panel rayuan terdiri daripada lima hakim yang dipengerusikan oleh hakim Azizah Nawawi hari ini memutuskan bahawa keputusan sebelum ini adalah sah.
Bercakap bagi pihak rakan hakim Mohd Ruzima Ghazali, Ahmad Zaidi Ibrahim, Azman Abdullah, dan Azhahari Kamal Ramli, dia berkata mahkamah rayuan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.