Jangan diam membisu apabila perkara agama dipermain, dihina martabatnya – Hadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Semua pihak sama ada Raja-raja atau rakyat yang menjaga kedudukan Islam yang wajib dimuliakan, hendaklah membuat kenyataan terbuka menentang kemungkaran yang mencabar pihak yang menjaga agama Islam.

“Jangan diam membisu membiarkan perkara agama dipermainkan sehingga dihina martabatnya”, gesa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menurut beliau, kenyataan daripada DAP terhadap urusan agama Islam adalah satu langkah yang silap mengikut sempadan masyarakat majmuk, kerana ia sangat dijaga oleh penganut Islam walaupun mereka yang paling jahil.

“Sifat tersebut masih terpelihara dalam diri masyarakat Melayu Islam sejak beberapa abad lamanya di Nusantara, termasuk pada zaman penjajah.

“Sehinggakan, tidak mudah untuk seseorang mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan salah faham. Walaupun Islam dengan tegasnya dinyatakan sebagai agama bagi Persekutuan, namun hak kebebasan beragama tetap terpelihara kepada semua pihak,” kata Hadi dalam catatan Minda Presiden PAS pada Rabu.

Baru-baru ini, tercetusnya kenyataan yang menimbulkan salah faham sekali gus menandakan berlakunya ketidakfahaman terhadap adab Islam sehingga menimbulkan kekeliruan sejak berlakunya kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan DAP, yang kemudiannya disertai oleh beberapa kepala Umno dalam kerjasama tersebut.

“Keadaan yang berlaku seperti sudah tidak mengenali sempadan perbezaan agama yang wajib dijaga, sehingga DAP boleh melanggar sempadannya.

“Lebih malang lagi, ada daripada kalangan Melayu Islam yang jahil agamanya sendiri bertindak mempertahankan kenyataan yang salah daripada DAP.

“Budi bicara dan tindakan pemerintah mestilah bertujuan memelihara atau membawa kemaslahatan (kebaikan) kepada rakyat dan ada yang menyebutnya sebagai siasah syar‘iyyah,” jelas Ahli Parlimen Marang itu lagi.

Ujar Hadi, antara perkara tersebut ialah menyatakan tanda halal bagi maslahat penganut Islam ke dalam perkara haram dan syubhah.

“Sekalipun ia tidak menyentuh urusan masyarakat bukan Islam sedikit pun, seperti tidak mewajibkan mereka meletakkan tanda haram kepada makanan mereka.

“Namun begitu, semua pihak dapat memahaminya tanpa adanya kenyataan yang bersifat provokasi sehingga berani menyentuh perkara yang berkait dengan penganut Islam yang tidak ada kaitan langsung dengan masyarakat bukan Islam.

“Melainkan adanya tujuan niat jahat untuk memudahkan penganut Islam jatuh ke dalam perkara yang haram atau syubhah. Sehingga mengheret ke arah pluralisme yang melanggar sempadan agama Islam yang wajib dipertahankan oleh penganut Islam,” hurai Hadi.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Ahli Parlimen kerajaan dari DAP itu berkata, langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Menurut Teresa pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela dan membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran.

Ini susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, yang memaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Kenyataan Teresa bagaimanapun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin Umno, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, Teresa tidak sewajarnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang disifatkan tidak membantu untuk menjernihkan keadaan.

“Kalau dia mahu mewakili beberapa pihak, tidak mengapa… tetapi tidak perlu (buat kenyataan sedemikian secara terbuka) kerana ia tidak membantu untuk menjernihkan keadaan.

“Kita kena jaga sentimen muslim dan bukan Islam. Cara dia (adalah) runding secara elok dahulu. Bukan tunjuk kehebatan masing-masing.

“Negara kita sudah dalam keadaan baik sekarang, politik sudah stabil, penghargaan dunia baik, ekonomi naik (justeru) perlu apa perkara ini nak merosakkan (keharmonian dan kesejahteraan negara),” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat