Jika Tidak Sokong Ismail Sabri, PH Akan Jadi Kerajaan – Muhyiddin

- Advertisement -

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) dengan sokongan kumpulan kleptokrat mungkin kembali menjadi kerajaan jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mengambil pendirian terhadap pemilihan perdana menteri baharu.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, malah Bersatu juga menjadi pembangkang dan politik negara terumbang-ambing apabila tiada sesiapa memperoleh sokongan majoriti.

“Saya berfikiran rasional. Kerana itu saya telah berbincang dengan ahli-ahli Parlimen Bersatu dan pimpinan Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas, Star, SAPP dan Gerakan serta pucuk pimpinan rakan kita iaitu GPS dan PBS mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang baharu.

“Dengan itu Bersatu dan parti komponen PN terus berada dalam kerajaan untuk meneruskan usaha memulihkan negara sehinggalah tiba suatu masa pilihan raya dapat diadakan dengan selamat dan mandat dikembalikan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

“Pada masa itu, PN dan saya sebagai Pengerusinya akan mengambil bahagian dalam pilihan raya. Insya-Allah dengan izin Allah dan sokongan rakyat, we will make a comeback!,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Sambutan Ulang Tahun Yang Kelima Bersatu hari ini.

Menurut Muhyiddin, meskipun ada pihak yang mengatakan kerajaannya gagal namun sebenarnya tidak gagal.

“Mereka yang nak lihat kita gagal. Kerana itu, semasa kita sibuk mengurus Covid-19 dan mengurus kebajikan rakyat, mereka sibuk berkomplot untuk menjatuhkan Kerajaan,” ujarnya.

Beliau tahu ramai rakyat yang tidak suka dengan perbuatan berkenaan dan terdapat juga ahli Bersatu mahunya terus kekal memimpin Kerajaan PN.

Sebaliknya jelas Muhyiddin, beliau mesti patuh kepada Perlembagaan Persekutuan iaitu apabila kehilangan sokongan majoriti Dewan Rakyat, beliau mesti meletakkan jawatan dan itulah yang dilakukannya.

Justeru beliau mengingatkan semua ahli Bersatu untuk memperkuat parti di peringkat akar umbi, memperkuku perpaduan dan mengelak persengketaan untuk menjadikan Bersatu sebagai pilihan rakyat dalam pilihan raya akan datang.

Ujarnya, usaha itu bukan melibatkan Bersatu sahaja tetapi dengan memperkukuhkan kerjasama dengan parti komponen PN di bahagian dan cawangan.

“Dasar kita ialah kita tidak boleh bersendirian dalam menghadapi pilihan raya. Kita memerlukan sokongan parti-parti komponen PN dan parti rakan kita yang lain untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan,” jelas beliau.

Muhyiddin kemudian menyeru ahli-ahli parti supaya terus memberi sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dalam usaha dan barisan Jemaah Menterinya untuk menjaga kebajikan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi dan memulihkan negara.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Menteri dan Timbalan Menteri dari Bersatu dilantik.

“Nasihat saya, jalankanlah amanah dan tanggungjawab anda dengan cemerlang dan penuh integriti.

“Rakyat sedang memerhati dan menilai parti kita berdasarkan prestasi anda semua. Saya doakan agar anda semua akan dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat dan negara serta mengharumkan nama parti kita,” katanya.

– UTUSAN ONLINE

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat