KUALA LUMPUR – Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melahirkan kebimbangan apabila kerajaan negeri tidak pernah dilibat urus mengenai tuntutan perolehan Amerika Syarikat (AS) terhadap bahan mentah unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Malaysia.
“Walaupun saya menyokong penuh pembangunan industri NREE ini, namun sepanjang penelitian saya terhadap perinciannya di dalam RMK-13, penekanan terhadap hak negeri kurang diberikan perhatian.
“Sedangkan REE ini di bawah bidang kuasa negeri yang tertakluk di dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
“Apa yang paling membimbangkan kami di negeri, seingat rekod yang negeri ada, pihak negeri tidak pernah dilibat urus mengenai tuntutan perolehan pihak Amerika Syarikat terhadap NREE di Malaysia, seperti yang dilaporkan oleh media asing sebagai salah satu syarat perundingan tarif dengan Kerajaan Amerika Syarikat,” katanya dalam ucapan perbahasan RMK13.
Samsuri berkata, pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) kini dirancang untuk diperluas kepada lima aspek, iaitu; perlombongan, penulenan dan pengasingan, pembangunan industri hiliran dan pertengahan, penyediaan kepada produk eksport serta penjagaan alam sekitar.
“Ia adalah sesuatu yang baik, memandangkan industri ini bakal menghasilkan pulangan yang besar kepada negeri dan juga negara, sekaligus memberikan manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.
“Bagi merancakkan lagi pembangunan industri NREE di negara kita, saya mencadangkan agar diwujudkan Pusat Kecemerlangan Nasional REE, yang memberikan fokus terhadap pembangunan pemprosesan berteknologi tinggi, metalurgi unsur nadir bumi dan pemulihan tanpa sisa. Atau dengan kata lain, dengan izin (advance material processing, NREE metallurgy & zero-waste recovery),” katanya.
Mengulas lanjut Samsuri berkata, RMK13 seharusnya juga dijadikan peluang untuk memberi nilai tambah kuasa negeri, atau melakukan reformasi pengurangan kuasa persekutuan (decentralisation) dalam aspek dan kadar tertentu, supaya negeri dapat bergerak dengan lebih pantas tanpa dipengaruhi sentimen politik kepartian.
“Ini adalah untuk memastikan jika negeri dan pusat berbeza politik, ianya tidak memberi kesan kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Ya saya faham, kita ada kerangka pembahagian kuasa Negeri dan Persekutuan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, tetapi kita semua maklum, bahawa keadaan semasa Perlembagaan digubal adalah hampir 70 tahun yang lalu, tentunya berbeza dengan keperluan semasa waktu ini.
“Contoh realiti yang sering saya berikan, adalah berkaitan pelaburan ke negeri-negeri.
“Walaupun diumumkan projek pelaburan yang berbilion-bilion jumlahnya, namun pendapatan dan hasil kepada negeri adalah kecil sahaja,” ujar beliau.
Samsuri yang juga Naib Presiden Pas memberitahu lagi, kerajaan negeri hanyalah mempunyai kuasa kutipan cukai yang jumlahnya tersangat kecil, berbanding hasil kutipan cukai pendapatan syarikat dan individu yang diperolehi oleh kerajaan Pusat.
“Malaysia perlu mempertimbangkan kesesuaian untuk beralih kepada model cooperative federalism dan juga fiscal federalism di mana penyelesaian masalah rakyat menjadi keutamaan, mengatasi sempadan kerangka perlembagaan yang direkabentuk untuk menyediakan kemerdekaan negara pada tahun 1957.
“Ini memerlukan pendekatan baharu dalam menyelaras dasar, pelaksanaan projek dan pengagihan sumber, termasuklah pembahagian kuasa percukaian yang lebih meluas supaya Negeri memperolehi hasil yang lebih baik berbanding dengan kerangka yang ada pada masa ini.
“Di bawah semangat cooperative dan fiscal federalism, saya mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan memperkenalkan Geran Khusus Persekutuan dan negeri, di bawah akta baharu yang boleh digubal, menggunakan kuasa di bawah Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan.
“Ini membolehkan peruntukan diberikan secara terus kepada negeri bagi melaksanakan projek nasional atau keutamaan Negeri – tanpa ketirisan, birokrasi atau kelewatan agensi pusat,” saran beliau.



