Iskandar Malaysia Catat Pelaburan Terkumpul RM368 Bilion

- Advertisement -

ISKANDAR PUTERI – Iskandar Malaysia mencatatkan pelaburan komited terkumpul bernilai RM368 bilion (kira-kira S$115 bilion) dari 2006 hingga Jun 2022, yang mana RM219 bilion (kira-kira S$68.4 bilion telah direalisasikan, kata Manteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini.

Beliau berkata, Singapura kekal sebagai pelabur asing kedua terbesar di Iskandar Malaysia dengan pelaburan komited sebanyak RM25.3 bilion (S$7.9 bilion) dalam pelbagai pelaburan seperti pembuatan, penjagaan kesihatan, pendidikan, perkhidmatan perniagaan dan pembangunan estet perindustrian.

“Pandemik COVID-19 yang bermula pada 2020 telah memberi kesan buruk kepada kedua-dua negara. Pembukaan semula secara penuh sempadan kita dengan Singapura pada 1 April, 2022 telah membantu kadar pemulihan ekonomi, terutamanya bagi Iskandar Malaysia dan Johor.

“Kita mendapati berlakunya kesesakan lalu lintas di Tambak Johor dan Linkedua serta pelanggan beratur panjang di kedai makan tempatan dengan semakin ramai rakyat Singapura meneruskan kunjungan mingguan mereka ke Johor dan Malaysia. Trafik Johor ke Singapura hampir kembali normal,” katanya.

Mustapa berkata demikian dalam ucapannya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ke-15 Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) secara bersama dengan Menteri Pembangunan Negara Singapura, Desmond Lee di sini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Pengangkutan Singapura, S. Iswaran.

Mustapa berkata, ekonomi negara dijangka berada dalam keadaan pemulihan tahun ini.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pada tahun hadapan ia mungkin agak mencabar dan menyeru kedua-dua negara untuk bekerjasama rapat bagi meningkatkan daya tahan dalam menghadapi cabaran itu.

Mengenai JMCIM, beliau berkata, sejak penubuhannya pada 2007, jawatankuasa tersebut telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Singapura.

JMCIM, katanya, merupakan jambatan penting yang menghubungkan Malaysia dan Singapura melalui Iskandar Malaysia.

“Pada mesyuarat terakhir Disember 2021 yang dihoskan oleh Singapura, kita memutuskan untuk menghidupkan semula JMCIM dan bersetuju mengkaji semula kebanyakan Terma Rujukan (TOR) Kumpulan Kerja.

“Kemajuan yang dicapai akan menyumbang kepada JMCIM dengan lebih kukuh dan mampan. Izinkan saya mengucapkan terima kasih kepada pegawai kita di kedua-dua negara atas kerja keras mereka. Pertemuan hari ini adalah peluang untuk kita meningkatkan kerjasama dalam era pasca COVID-19.

“Terdapat pencapaian penting dalam enam Kumpulan Kerja, dengan lebih daripada 45 inisiatif dan projek strategik sejak penubuhan JMCIM pada 2007. Idea pecah tanah dan projek inovatif seperti Sistem Pelepasan Automatik Malaysia, M-BIKES, Sister Wetlands dan projek Sistem Transit Rapid dicetuskan daripada platform JMCIM,” katanya.

Beliau berkata, dengan siapnya projek Afiniti dan Avira (Fasa 1) Medini, Kumpulan Kerja Projek Ikonik akan berkembang kepada Kumpulan Kerja Inovasi, yang memfokuskan pada perkongsian ekosistem permulaan teknologi, memudahkan aktiviti perniagaan melalui sandbox, perintis dan peralatan pengujian serta jenis kerjasama lain melalui perkongsian pengetahuan dan pertukaran teknikal.

Terdahulu, Mustapa, Onn Hafiz, Lee dan Iswaran mengambil peluang berbasikal sejauh kira-kira 4.2 kilometer dari Tambak ke Restoran Hua Mui, Johor Bahru dan bersarapan di restoran tersebut. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat