Aktiviti Seleweng Diesel Subsidi Tumpas, Pemilik Stesen Minyak Ditahan

- Advertisement -

KANGAR – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PKPDNHEP) Perlis mematahkan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak sini semalam dengan menahan dua lelaki dan merampas 406 liter diesel serta sebuah kenderaan dalam serbuan kira-kira pukul 7.03 pagi.

Pengarahnya, Norazah Jaapar berkata, tangkapan tersebut hasil daripada risikan oleh anggota penguat kuasa sejak beberapa minggu lalu.

“Ketika serbuan dilakukan di stesen minyak berkenaan, terdapat sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero bernombor pendaftaran tempatan berada di pam dan sedang mengisi minyak diesel bersubsidi ke dalam kenderaan tersebut.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati kenderaan tersebut telah diubah suai dengan dua unit tangki tambahan yang berada di dalam kenderaan berkenaan. Tangki tambahan tersebut, disyaki mengandungi minyak diesel bersubsidi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, hasil siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati wujud transaksi pembelian minyak diesel secara tunai di stesen minyak tersebut oleh pemandu kenderaan warga tempatan berumur lewat 40-an.

Katanya lagi, lelaki berkenaan dan pemilik stesen minyak terlibat turut ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

“Kita turut menyita kira-kira 406 liter minyak diesel bersubsidi, dua unit tangki tambahan, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero serta kunci kenderaan dengan anggaran keseluruhan rampasan berjumlah RM52,372.90.

“Modus operandi bagi kes ini adalah dengan membeli minyak diesel bersubsidi di beberapa buah stesen minyak dalam negeri ini dan kemudiannya dijual kepada pihak lain,” katanya.

Tambahnya, stesen minyak berkenaan juga diarah tutup bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

“Kita kesal kerana masih lagi berlaku penyelewengan bahan bakar bersubsidi dan memberi amaran keras kepada pemilik stesen minyak yang mungkin berdepan akibat digantung sementara.

“Kita juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu terlibat dengan penyelewengan bahan bakar itu,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat