KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warganegara atau bukan
warganegara yang berniat mengancam keselamatan negara dan menentang sekeras-kerasnya sebarang tindakan keganasan dalam apa jua bentuk sekalipun.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, kerajaan turut memantau situasi terkini berkaitan risiko ancaman keganasan oleh kumpulan-kumpulan pengganas seperti DAESH, Jemaah Islamiyah dan lain-lain.
“Kerajaan telah bekerjasama dengan pasukan-pasukan keselamatan daripada negara-negara jiran untuk membendung serta mengenal pasti individu-individu yang disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan sama ada melibatkan warganegara Malaysia atau warga negara asing.
“Tindakan yang dilaksanakan bagi menangani ancaman dan juga penyebaran fahaman-fahaman berkaitan keganasan adalah dengan menyalurkan maklumat dan hebahan berkait ancaman keamanan dan kesejahteraan negara melalui strategi komunikasi yang bersesuaian bagi mewujudkan kesedaran kepada rakyat dan mempromosikan inisiatif Kerajaan dalam mengawal ancaman keganasan di seluruh negara,” kata Zahid.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan memaklumkan, pelaksanaan program-program kesedaran turut dilaksanakan berdasarkan tiga teras iaitu patriotisme, keagamaan dan langkah pencegahan melalui siaran program di televisyen, penerbitan, siaran radio, media sosial dan ceramah kesedaran.
“Saya menyatakan komitmen bahawa Kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warganegara atau bukan warganegara yang berniat mengancam keselamatan negara dan menentang sekeras-kerasnya sebarang tindakan keganasan dalam apa jua bentuk sekalipun,” ujar beliau selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (High Level Committee – HLC)
Kawalan Keganasan (JPTKK) Bil. 2/2023 telah bermesyuarat pada hari ini 11 Julai
2024 pada Khamis.
Kata Zahid, mesyuarat ini adalah bertujuan membincangkan isu-isu terkini berhubung ancaman keganasan di Malaysia, mengenal pasti strategi bagi menangani keganasan di negara ini secara komprehensif, penambahbaikan mekanisme pengurusan krisis keganasan serta memantau pengurusan krisis keganasan dan pelaksanaan counter-narrative anti keganasan secara holistik.
Keanggotaan mesyuarat adalah terdiri daripada menteri dan pegawai kanan kerajaan daripada kementerian dan agensi yang terlibat.
“Saya memulakan mesyuarat dengan menyatakan bahawa kerajaan sentiasa memberi perhatian serius mengenai trend dan perkembangan semasa isu dan ancaman keganasan di Malaysia dan luar negara yang memberi implikasi langsung ke atas keselamatan negara.
“Dari segi Indeks Keganasan Global, Malaysia telah menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam menangani keganasan dengan melonjak daripada kedudukan ke-68 daripada 163 negara pada tahun 2022 ke kedudukan ke-75 pada tahun 2023.
“Manakala dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia kekal berada di kedudukan kelima daripada 10 negara dengan mengambil kira jumlah insiden, kematian, kecederaan, tebusan dan nilai kerosakan.
“Kedudukan yang lebih baik ini bakal memberi impak positif kepada perkembangan ekonomi dan sosial negara,” ujar Zahid yang juga Presiden Umno.
Kata Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu lagi, walaupun keganasan bukanlah isu utama keselamatan negara pada masa kini berdasarkan indeks keselamatan global, perkembangan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan dan virus ditaksir berpotensi dieksploitasi elemen-elemen keganasan; lonewolf atau pack.
“Mesyuarat juga dimaklumkan bahawa sejak Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA digunakan sebagai undang-undang prosedur bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang dimansuhkan pada tahun 2013, seramai 565 individu telah ditahan.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 368 individu adalah warga tempatan. Sementara antara tahun 2013 hingga 2020, seramai 559 individu telah ditangkap dan selebihnya pasca COVID-19.
“Daripada statistik ini jelas menunjukkan penurunan intensiti aktiviti keganasan di negara ini kesan daripada pendemik ini,” ujarnya.
Zahid menambah, pencegahan awal yang progresif dan bersasar dapat mengurangkan kes-kes tangkapan dan memberi peluang kepada individu terlibat untuk dineutralkan sebelum terjebak selain memberi peluang memulakan kehidupan baru yang lebih baik.
Untuk itu, kata beliau lagi kerajaan secara konsisten melaksanakan proses deradikalisasi dan rehabilitasi ke atas individu-individu yang terlibat dengan aktiviti keganasan.
“Ancaman keganasan masih wujud di rantau Asia Tenggara namun ancaman tersebut bersifat sederhana-rendah. Malaysia khususnya, merupakan sebuah destinasi transit popular operatives Foreign Terrorist Fighters (FTFs) untuk melancarkan serangan di kawasan-kawasan lain.
“Kebanjiran warga asing daripada rantau Asia Tengah, Asia Selatan dan Afrika turut menjadi punca kepada perkembangan aktiviti keganasan di Malaysia,” kata Zahid.