KUALA LUMPUR – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berpandangan bahawa adalah tidak wajar berlaku di dalam negara tercinta ini akan tindakan untuk menyempitkan takrif Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah.
Yakni yang hanya bersumberkan aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah, dari sudut figh hanya daripada Mazhab Syafie dengan meraikan tiga mazhab lain dan dari sudut tasawuf adalah bersumberkan Imam Ghazali dan Imam Junaid.
Baginda bertitah, tindakan seumpama ini adalah tidak bersifat inklusif bahkan membawa kepada elemen sektarian dalam kalangan umat Islam di negara ini.
“Beta telah mengikuti dengan rapat dan menimbang dengan penuh berhati-hati akan polemik yang timbul ekoran pembentangan Rang Undang-undang (RUU) berkaitan Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 melalui bacaan kali pertama di Dewan Rakyat baru-baru ini.
“Pada hemat Beta, sesuatu undang-undang yang ingin digubal, hendaklah dipertimbangkan dengan sewajarnya, terutama mengenai kesan dan akibat apabila sesuatu perkara itu ingin diluluskan oleh Sidang Parlimen, yang merupakan Badan Penggubalan Undang-undang yang kompeten dalam negara tercinta.
“Dengan melihat butiran Rang Undang-undang (RUU) yang telah dibentangkan, Beta berpandangan bahawa, adalah tidak wajar berlaku di dalam Negara tercinta ini akan tindakan untuk menyempitkan takrif Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah hanya bersumberkan aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah, dari sudut figh hanya daripada Mazhab Syafie dengan meraikan tiga mazhab lain dan dari sudut tasawuf adalah bersumberkan Imam Ghazali dan Imam Junaid.
“Tindakan seumpama ini adalah tidak bersifat inklusif bahkan membawa kepada elemen sektarian dalam kalangan umat Islam di negara ini,” titah Raja Perlis dalam kenyataan.
Kata Tuanku Syed Sirajuddin lagi, Baginda juga selama ini tidak ambil maklum bahawa perkara berkaitan aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah dan menghadkan mazhab ini telah diputuskan secara konsensus serta menepati prinsip syura dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
“Justeru Beta tidak mahu Majlis Raja-Raja diheret dan digunakan bagi menyokong RUU ini.
“Sayugia Beta kongsikan bahawa, selaras dengan Perkara 5 Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948, telah memperuntukkan mengenai Agama Negeri Perlis adalah agama Islam Ahli Sunnah Waljama’ah seperti yang telah diamalkan di dalam negeri.
“Sebagai Ketua Agama Islam Negeri, Beta bertanggungjawab untuk memastikan pemahaman Agama Islam itu hendaklah dalam keadaan harmoni, mengutamakan perpaduan sejagat dan terhindar dari anasir ekstrem yang mengenepikan kepelbagaian pandangan serta khazanah ilmu cendekiawan Islam dalam sejarah Islam yang gemilang.
“Keluasan pandangan dalam pelbagai cabang amalan agama, telah sekian lama diterima dan diamalkan oleh umat Islam di dalam negara ini serta turut meraikan perbezaan pandangan di seluruh dunia.
“Dalam hubungan ini, Wilayah Persekutuan sepatutnya membawa semangat federalisme yang memayungi semua pihak. Negara-negara Umat Islam lain seperti Arab Saudi, Qatar dan lain-lain akan mudah dianggap terkeluar dari kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah sekiranya takrifan sempit ini diteruskan,” ujar baginda lagi.
Justeru, baginda berharap agar segala yang dizahirkan dalam titah ini diberikan perhatian oleh semua pihak.
“Utamakanlah sikap berhati-hati, berfikiran panjang serta penuh hikmah dan santun dalam setiap tindakan.
“Biarlah sesuatu keputusan yang diambil pada hari ini, tidak menimbulkan pertikaian berpanjangan,” titah Raja Perlis.