Versi baharu Halaman Asmara

- Advertisement -

Lagu Halaman Asmara nyanyian Datuk Awie dan Ziana Zain terus menjadi karya ikonik dan tidak lapuk. Setiap tahun terutama menjelang Aidilfitri, ia pasti jadi pilihan dimainkan di stesen radio.

Hakikatnya, Halaman Asmara turut menjadi simbolik betapa agungnya karya lagu balada tempatan sejak dulu lagi.

Disebabkan itulah ia digelar ikonik apatah lagi duet Awie dan Ziana begitu padu serta bersatu dengan sempurna.

Justeru, tanggungjawab Vanessa Reyauld dan Pasya menyanyikan versi baharu Halaman Asrama cukup berat untuk dipikul. Mana tidak, versi asalnya pun sudah terlalu hebat dan tiada tandingan.

Mengakui agak bimbang diberikan mandat itu, Vanessa atau nama sebenarnya Vanessa Ben Reynauld, 22, berkata, dia tetap memberanikan diri mencabar dirinya.

Hakikatnya, rasa teruja dan bangga melebihi debarannya.

“Secara peribadi, saya sangat suka lagu ini dan rasa ia tidak kedengaran seperti lagu raya pun tapi lebih kepada lagu balada yang besar. Apabila dapat tahu saya kena duet dengan Pasya untuk lagu Halaman Asmara, saya teruja jadi penerus legasi sebab lagu ini memang ikonik.

“Setiap lagu yang saya bawakan, saya cuba untuk memahami liriknya serta jalan cerita sebelum menyanyikannya. Saya mahu suntik perasaan sendiri dalam lagu itu supaya pendengar pun dapat rasa apa yang sepatutnya dirasakan,” katanya.

Vanessa mendedahkan projek merakam semula versi baharu Halaman Asmara bersama Pasya sebenarnya tidak dirancang. Idea nyanyi lagu raya secara berduet terjadi secara spontan ketika Ramadan lalu.

Dia terus bersetuju saja kerana memang sudah tahu cara nyanyian dan kemampuan vokal Pasya. Namun, dia akui cabaran utama bukan pada kemampuan mencapai nota tinggi, sebaliknya lebih daripada itu.

“Kita semua tahu ini sebuah lagu yang cukup mencabar vokal dan untungnya laras vokal kami berdua memang luas. Untuk mencapai notanya bukan masalah tapi yang mencabarnya adalah percubaan lari daripada identiti penyanyi asal,” katanya.

Menurut Pasya atau nama sebenarnya Faizul Asyraf Fauzi, 28, dia juga sejujurnya tidak risau disebabkan dia memang peminat tegar lagu Halaman Asmara. Dapat menyanyikan semula lagu yang sangat ikonik ini buat dirinya terharu dan teruja.

Berkongsi proses rakamannya, Pasya bersyukur bukan susah buatnya menghayati lagu ini dengan baik di studio. Dia turut berbesar hati dipadankan dengan Vanessa untuk projek cukup bermakna ini.

“Dari segi penghayatan, sememangnya sampailah mood raya itu disebabkan proses rakaman lagu ini juga dirakamkan pada bulan Ramadan. Kebetulan ia sudah menjelang sambutan Aidilfitri.

“Vanessa pun memang seorang penyanyi yang bagi saya cukup berpengalaman. Dia memiliki kepelbagaian warna suara dalam nyanyiannya. Itu menjadi kelebihan tersendiri untuknya kerana bukan saja ada vokal mantap malah sangat ‘versatile’,” katanya.

Pasya tidak menafikan terbit rasa gusar juga sekiranya versi Halaman Asmara baharu ini akan dibayangi versi asal. Namun, dia yakin keunikan tersendiri sudah disuntik mereka dalam menghidupkan lagu itu agar tampil lebih segar.

“Bab perbandingan memang paling seram sekali. Tapi mestilah bersedia untuk itu sebab mesti akan ada yang bandingkan. Apapun, saya secara peribadi rasa tak wajarlah bandingkan kami yang kerdil ini dengan penyanyi asal,” katanya.

Dua penyanyi makin bersinar ini cukup mengagumkan pencapaiannya sejak memijak industri muzik tempatan.

Selain memiliki vokal hebat, Vanessa pernah terpilih untuk kempen Equal oleh platform penstriman digital tersohor dunia, Spotify.

Wajah Vanessa juga pernah terpampang di papan iklan ikonik di New York Times Square, New York, Amerika Syarikat.

Selain itu, lagu duetnya bersama Naqiu berjudul Rindu Separuh Nyawa berjaya meraih dua kali ganda platinum dalam tempoh setahun.

Manakala, Pasya pula berjaya dinobatkan tempat ketiga program nyanyian realiti, Lagu Cinta Kita musim ketiga (LCK3).

Walaupun bukan juara, nama Pasya pantas meniti di bibir peminat disebabkan keunikan vokalnya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat