‘Perang’ Bendung Covid-19 Lebih Tertumpu Di Lembah Klang – KP Kesihatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: ‘Perang’ membendung pandemik COVID-19 semakin sengit dan kini lebih tertumpu di Lembah Klang berikutan kepadatan dan pergerakan penduduknya yang tinggi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Justeru, beliau berkata selain meningkatkan kadar vaksinasi, kawalan ketat juga dijalankan dalam tempoh dua minggu ini bagi membendung penularan virus itu di kawasan Lembah Klang.

“Dalam tempoh dua minggu ini bagi sektor yang dibuka, kita mahu lihat bagaimana untuk ketatkan kawalan. Dua minggu ini untuk beri masa supaya kita dapat kenal pasti kawasan terlibat, tingkatkan saringan serta kes kontak rapat dikesan dan seterusnya kurangkan jangkitan dalam komuniti kita.

“Kedua, pertingkatkan vaksinasi di Lembah Klang. Selangor masih jauh (ketinggalan) sebab penduduknya ramai jadi dari segi vaksinasi, memang banyak diberikan tetapi peratusan terima vaksin masih rendah. Kita dimaklumkan Selangor terima empat juta dos vaksin bulan ini,” katanya selepas menjadi tetamu program ‘The Nation’ terbitan Bernama TV malam ini yang dihoskan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Ras Adiba Radzi.

Malaysia hari ini merekodkan 9,353 kes baharu COVID-19 dan Selangor mencatat jumlah tertinggi dengan 4,277 kes diikuti Kuala Lumpur (1,398 kes).

Dr Noor Hisham percaya virus COVID-19 boleh dikawal sekiranya kadar vaksinasi ditingkatkan dengan keutamaan diberikan kepada kawasan berisiko dan beberapa sektor yang dibenarkan operasi semasa Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara pada masa ini.

Beliau berkata dengan peningkatan keupayaan proses suntikan antara 300,000 dan 400,000 dos sehari, unjuran Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan 70 hingga 80 peratus populasi Malaysia divaksin dapat dicapai sekitar September atau awal Oktober depan.

Katanya kawalan jangkitan wabak itu juga boleh dilihat sekiranya Malaysia sudah mencapai jumlah 50 peratus penduduk menerima vaksin.

Dr Noor Hisham juga berkata petugas kesihatan dari negeri yang memasuki Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara akan ditempatkan di kawasan panas COVID-19 bagi membantu negeri yang memerlukan seperti Selangor dan Kuala Lumpur.

Mengakui petugas barisan hadapan sedang menghadapi lesu upaya setelah berjuang memerangi pandemik itu hampir dua tahun, beliau menasihati mereka agar terus cekal dalam menjadi ‘wira negara’ yang mempertahan Malaysia daripada ancaman wabak tersebut.

Beliau berkata petugas barisan hadapan tidak boleh berputus asa dalam memerangi wabak itu kerana Malaysia masih belum bebas daripada penyakit berjangkit tersebut.

“Ini peperangan berpanjangan dan ia memakan masa. Kita semua terkesan termasuk rakyat Malaysia dan petugas barisan hadapan. Petugas barisan hadapan merupakan barisan pertahanan yang terakhir. Ini peperangan yang sangat sengit sekarang,” katanya.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat